Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Negeri Terengganu akan mengadakan kerjasama dengan masjid-masjid di seluruh negeri bagi membantu membanteras kegiatan jenayah.
Pengerusi MCPF, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata buat permulaan pihaknya merancang menjadikan Masjid al-Muktabillah Shah, Ladang, sebagai projek perintis di mana kerjasama bagi membendung jenayah dilakukan melalui progam berunsur agama.
“Jika projek ini yang akan dimulakan dalam masa terdekat ini berjalan lancar dan membuahkan hasil yang baik, kita akan memperluaskannya di masjid seluruh negeri,” katanya yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
Katanya, sebelum ini pihaknya mengadakan kerjasama seumpama itu dengan pihak sekolah rendah dan menengah di negeri ini dan ia menunjukkan hasil yang memberangsangkan.