Halaman

01 September 2013

BATU BUAYA DI CALOK...kisahnya realiti atau dongeng?



Pengunjung bergambar kenangan berhampiran kepala "buaya".

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.


CERITA tentang seekor buaya besar akan menghentak air di atas sebuah Bukit di Kampung Gong Terap, Chalok, Setiu, Terengganu pada setiap kali musim tengkujuh akan tiba, dengan mengeluarkan bunyi yang kuat sehingga boleh didengar oleh penduduk kampung suatu ketika dahulu.

Untuk mendapat kepastian mengenai apa yang berlaku itu, Tidak lama dulu, Teganukita berkesempatan ke atas bukit yang terletak kira-kira tiga kilometer dari Kampung Gong Terap itu bersama seorang penduduk asal kampung itu untuk mengetahui apa yang terdapat di atas bukit itu.

Walaupun jaraknya tidaklah jauh dari jalan utama iaitu kira-kira setengah jam perjalanan tetapi, agak sukar untuk ke bukit itu kerana kami terpaksa berjalan kaki kira-kira lebih satu kilometer kerana kereta tidak boleh memasuki kawasan itu yang berbukit dan melalui satu ladang getah.

Kami di pandu arah oleh seorang lelaki yang mahu dikenali sebagai Pak Long untuk ke tempat itu kerana Pak Long agak mahir di kawasan itu kerana ia pernah beberapa kali ke tempat yang agak misteri itu kerana membawa beberapa orang yang mahu melihat sebuah batu berbentuk buaya di tempat itu.

Akhirnya selepas meredah sebuah bukit kami sembilan orang termasuk empat kanak-kanak tiba di tempat yang menjadi bualan ramai penduduk Chalok itu.

“Inilah batu yang mahu awak ihat tu, ia memang nampak seperti seekor buaya tetapi ekornya sudah terputus manakala badanya seperti terlekat di atas sebuah batu yang lain,” kata Pak Long sambil mengusap batu berbentuk buaya itu.

Pada mulanya penulis tertanya-tanya juga di mana batu berbentuk buaya yang saya mahu lihat itu tetapi selepas diamati betul-betul barulah saya perasaan bahawa batu itu sudah berada di hadapan mata dan ternyata sememangnya batu itu seakan seperti seekor buaya yang besar tersadai di atas sebuah bukit.

Batu sepanjang kira-kira 10 meter dan lebar ditengahnya sekitar dua meter itu mengambarkan seekor buaya yang sedang berehat dalam keadaan mengiring kira-kira 10 darjah menakala bahagian ekornya tertanam ke dalam tanah yang yang kelihatan ialah bahagian atas ekor manakala yang lain terbenam di dalam tanah.

“Pak Long tahu tak kisah batu ini,” Tanya penulis kepada Pak Long kerana mungkin ada cerita mengenai batu itu. Walaupun ceritanya mungkin dongeng rakyat tetapi saya mengharapkan akan mendapatkan cerita itu bagaimana batu itu boleh terbentuk seperti buaya, adakah kerana sumpahan atau sebagainya.

"Pak Long tahu ialah bukit ini ialah kawasan perkampungan Cina pada zaman dahulu manakala orang Melayu tinggal di bawah bukit iaitu di kampung Calok Terap sekarang. Orang Cina dan orang Melayu sering bergaduh kerana orang Melayu menyatakan orang Cina tidak boleh tinggal di atas daripada sungai itu. Akhirnya mereka berperang.

“Meraka yang meninggal dunia di tanam di kawasan batu ini, tetapi kawasan perkuburan ini tidak dipastikan samada wujud atau tidak di kawasan ini, Terdapat sebuah sungai di atas bukit ini dan di dalam sungai itulah terdapat seekor buaya peliharaan seorang pahlawan tersohor di daerah ini bernama Tok Bujuk, “ kata Pak Long sambil menunjukan sebuah sungai kecil berhampiran batu buaya itu.

Menurut Pak Long ada juga pendapat menyatakan batu buaya itu adalah sumpahan kepada seseorang yang melanggar perjanjian tetapi tidak diketahuinya siapakah yang disumpah menjadi buaya itu.

Pak long berkata, selain itu, di hadapan batu buaya itu terdapat satu lubang kecil dipercayai menjadi pintu masuk ke dalam sebuah gua dan di dalam gua itulah kononnya terdapat harta peninggalan beberapa orang kaya dari keturunan Cina yang menghuni kawasan itu.

Apapun cerita mengenai batu berbentuk buaya itu namun yang pasti batu itu kelihatan seakan-akan seekor buaya yang besar tersadai di atas bukit di kampung itu.