Halaman

06 September 2013

TTI perkenal persembahan cahaya

Oleh: Suriati Ali 

Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu akan memperkenalkan persembahan berbentuk cahaya dan bunyi, bagi menarik lebih ramai pengunjung ke taman itu.

 Pengurus Besar, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) Dato’ Osman Muda, berkata persembahan itu dijangka bermula Januari depan, sekali gus membolehkan Taman Monumen TTI dibuka kepada pengunjung pada waktu malam.

 "Persembahan itu mempunyai komponen-komponen seperti hologram, video mapping, laser, 'sky tracker' dan juga air pancut," katanya.

Beliau berkata kerja pemasangan kelengkapan bagi persembahan itu sedang berjalan dan dijangka siap Disember ini.

 Sementara itu Dato’ Osman berkata TTI menerima 643,000 pengunjung, sepanjang tahun lalu.

 "Kita mensasarkan akan menerima lebih 800,000 pengunjung apabila siapnya persembahan baru ini.

 "Sejak dibuka pada tahun 2008 hingga sekarang, TTI menerima kedatangan lebih 4.5 juta pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya