Halaman

03 September 2013

YT berhasrat bentuk organisasi mantap, kerja berpasukan

Oleh: Aida Abd Rahman dan Suriati Ali

Yayasan Terengganu (YT) berhasrat untuk membentuk pegawai dan kakitangannya yang mampu bekerja sepasukan  bagi menawarkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat serta meneruskan kesinambungan menjadikan Terengganu sebagai Negeri Anjung Ilmu.

Pengarahnya, Haji Azmi Razik, berkata YT yang mempunyai 385 kakitangan termasuk 42 pegawai seluruh Terengganu akan terus diperkasakan dengan menyatukan pemikiran, sikap dan cara bekerja supaya membentuk organisasi yang dipandang tinggi, cemerlang dan mantap.

 “Apabila kita cemerlang, pastinya kita mampu melimpahkan kecemerlangan itu dengan memberikan servis terbaik kepada rakyat.

“Kesedaran dan taklimat bagi memupuk sikap itu dijangka akan didedahkan kepada pegawai YT dalam program `retreat’ di Tasik Kenyir , pada hujung bulan ini,” katanya kepada pemberita di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2013 Yayasan Terengganu, di perkarangan jabatan itu, hari ini.

Haji Azmi berkata, pihaknya juga mahu supaya program itu berupaya memupuk budaya kerja berpasukan, semangat kecintaan pada tugas serta sentiasa menjaga profesionalisme.

Beliau berkata, organisasi yang mantap dan sistematik akan mampu memberi perkhidmatan yang terbaik serta memenuhi kehendak pelanggan khususnya menyediakan penajaan, bantuan dan pelbagai kemudahan pembelajaran berkualiti.

“Kita harus memulakan kecemerlangan dan memperkemaskannya dari rumah (organisasi) barulah kita mampu memberikan servis yang baik kepada pelanggan dan orang ramai yang berurusan dengan kita.

 “Saya tidak menafikan bahawa pegawai di YT sudah memainkan peranan masing-masing, bagaimanapun ia masih boleh dipertingkatkan supaya semakin cekap dan efektif, sekaligus mampu menyelesaikan pelbagai masalah berkaitan organisasi,” katanya.

Haji Azmi bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu, baru memikul tugas baru itu sejak 1 September lalu berhasrat untuk memastikan organisasi yang baru dipertanggungjawabkan kepada beliau semakin mantap dalam menyediakan peluang membangun modal insan yang cemerlang di Terengganu, negara dan juga peringkat global.