Halaman

03 September 2013

Satu sedia kaunter bergerak

Oleh: Suriati Ali 

Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu) akan menyediakan perkhidmatan kaunter kutipan bergerak bagi memudahkan penduduk, terutama yang tinggal di kawasan pendalaman membuat bayaran bil.

 Ketua Pegawai Eksekutif Satu, Haji Husain Embong, berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan secara terperinci dan menyusun jadual berkaitan perkhidmatan itu secara berperingkat-peringkat.

 Katanya, pendekatan itu mampu mengurangkan bebanan pengguna yang kini terpaksa membayar kadar komisen RM0.70 dikenakan bank-bank komersial .

“Pada setiap tahun, pihak kami telah berbelanja lebih dari RM 500,000.00 bagi tujuan ini dan jumlah ini semakin besar mengikut bilangan bil yang dibayar oleh pengguna di agensi-agensi berkaitan.

 “Pihak kami tidak mampu lagi menanggung caj perkhidmatan ini kerana melibatkan kos yang tinggi dan semakin meningkat dari masa ke semasa,” katanya.

Menurut Haji Husain, hasil perbincangan, bermula 1 Jun lalu, pihaknya telah bersetuju memindahkan caj komisen ini kepada pengguna.

 “Caj komisen ini dikenakan dan dikutip terus oleh agensi kutipan berkenaan di atas perkhidmatan yang mereka diberikan dan SATU tidak mengambil satu sen pun daripada caj ini.

 “ Bayaran yang diterima oleh Satu adalah mengikut jumlah penggunaan air sebagaimana yang dibilkan kepada pengguna.

Katanya, pihak kami jauh sekali bertujuan membuat keuntungan mudah dalam hal ini seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

 “Bagaimanapun, pengguna masih mempunyai pilihan sama ada membuat bayaran di agensi kutipan luar yang dikenakan caj atau membuat bayaran di kaunter Satu, TNB atau TM dan tidak dikenakan caj komisen,” katanya.