Halaman

07 September 2013

Contohi semangat peserta Ekspedisi Julang Jalur Gemilang

Oleh: Aida Abd Rahman

Generasi muda hari ini perlu sedar bahawa kejayaan tidak akan diperolehi dengan cara mudah, sebaliknya ia memerlukan usaha gigih serta tidak mudah menyerah kalah, kata Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Haji Mohd Zubir Embong.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelepasan Ekspedisi Julang jalur Gemilang 2013 Perlis-Tawau 30 Ogos -16 September, di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, hari ini.



Turut hadir, Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Azmi Ibrahim; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Terengganu, Asisten Komisioner Manoharan A/L Kanaparty dan Pegawai Pemerintah Pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia Chendering, Kapten Prof Zainal Saharudin.

Hadir sama, Ketua Program Ekspedisi Julang jalur Gemilang 2013 Perlis-Tawau 30 Ogos -16 September, Encik Azhar Ariffin.

“Syabas dan tahniah kepada Encik Azhar Ariffin dan krew yang terlibat menjayakan ekspedisi ini yang bakal mengharungi perjalanan yang mencabar.

 “Pada hemah saya, ia sangat memerlukan semangat dan jiwa yang kental serta mencabar minda dan fizikal lebih-lebih lagi melibatkan cabaran yang amat getir dalam mengharungi Laut China Selatan,” katanya.

Beliau berkata, ekspedisi ini menggunakan Bot Belacak 43 yang keseluruhan badan bot diperbuat daripada gentian kaca dengan ukuran panjang 43 kaki dan lebar 120 inci serta boleh memuarkan seramai lapan orang penumpang secara amnya.



Katanya, bot yang tercipta menerusi kajian dan penyelidikan serta inovasi yang melibatkan kepakaran tempatan itu dimiliki oleh Encik Azhar secara berdaftar berkaitan rekabentuk bot, selain turut didaftarkan dalam Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

“Hasil usaha beliau boleh menjadi contoh kepada generasi Y pada hari ini dalam menyahut cabaran wawasan 2020.

 “Kegigihan dan semangat yang ditonjolkan beliau wajar sekali dijadikan contoh dalam merealisasikan impian serta harapan kerajaan untuk melahirkan warga yang berinovasi serta berkreativiti,” katanya.

Untuk rekod, ekspedisi kali keempat sempena bulan kemerdekaan dan sambutan jubli emas Penubuhan Persekutuan Malaysia bermula 30 Ogos dari Langkawi dan berakhir di Tawau Sabah, pada 15 September ini dengan merentasi beberapa perhentian di perairan Pahang, Terengganu dan Kelantan.