Halaman

04 September 2013

50 kenderaan sertai Kembara Merdeka Jalur Gemilang


ADUN Kuala Besut Tengku Zaihan CK Rahman..melepaskan peserta konvoi

Oleh: Mohammad Ishak 

Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu bermula di daerah Besut apabila 50 kenderaan membawa Jalur Gemilang merentasi beberapa kampung sekitar daerah itu hari ini.

Majlis pelancaran program yang diadakan dalam suasana dan mood hari raya yang berlangsung di Kampung Bukit Payong,Hulu Besut, menyaksikan penyertaan penduduk pelbagai peringkat termasuk pelajar dan kanak-kanak tadika di daerah berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, diberi penghormatan melakukan upacara pelepasan konvoi kenderaan termasuk 30 motosikal yang ditunggang pemuda.

Sejurus berlepas kenderaan terbabit melalui laluan utama Jertih-Keruak menuju ke Bandar Jertih dan singgah di Dataran Jertih Souq untuk mengagihan jalur gemilang kepada pemilik premis perniagaan di perhentian bas.

Peserta konvoi kemudian menyusuri jalan utama Jertih-Kuala Terengganu dan singgah di Pekan Jabi yang kemudian mengagihkan jalur gemilang kepada penduduk setempat.

ADUN Jabi,Mohd Iskandar Jaafar kemudian menyambut konvoi terbabit di Kampung Anak Ikan, sempadan Besut/Setiu sebelum peserta meneruskan perjalananan ke daerah Setiu.

Peserta kemudian meneruskan konvoi menuju ke Hulu Terengganu. Pada 5 September konvoi bermula di perhentian kereta sewa Kemaman untuk meneruskan perjalanan ke Dungun dan Marang.

Manakala penutup program peserta konvoi akan berlangsung di Tapak Pasar Pagi, Kampung Telok Ketapang,Kuala Terengganu.