Konsep `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ kini dipraktikkan untuk penggal kedua pentadbiran Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.
Sebagai pihak yang bertindak sebagai `front liner’ bagi pihak kerajaan, pegawai dan kakitangan kerajaan menyahut pendekatan itu sebagai satu gagasan yang perlu dilaksanakan demi memuaskan hati rakyat sebagai `pelanggan utama’.
Menyedari hakikat itu, Penolong Kanan Setiausaha (Dasar dan Pembangunan), Cik Nur Kamilah Hamzah, berkata setiap perancangan dan hala tuju kerajaan negeri jelas berpaksikan kepada kepentingan dan manfaat secara langsung kepada rakyat.
“Sebagai badan penggerak, kita akan berusaha mencapai dan mematuhi setiap perancangan yang sudah digariskan pihak kerajaan bagi memastikan matlamat ketua kerajaan dan pegawai atasan mampu kita laksanakan sebaik mungkin.
“Setiap projek sama ada kecil dan besar yang dilaksanakan secara berterusan oleh pihak kerajaan semuanya adalah berfokuskan kepada rakyat,” katanya.
Penolong Setiausaha Kerajaan (pentadbiran dan Operasi) Kerajaan Tempatan, Encik Mohd Shahrir Ghani pula berpendapat setiap projek yang dibangunkan kerajaan secara berterusan merupakan kesinambungan untuk menyediakan perkhidmatan yang terbaik demi kesejahteraan dan manfaat kepada rakyat.
“Bagi memastikan usaha kerajaan menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat tercapai, kami sebagai agen pelaksana mengambil tanggungjawab memikul amanah itu dan berusaha melakukannya dengan lancar dan cekap.
“Pendekatan `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ amat tepat memandangkan kerajaan sentiasa mendahului rakyat dalam sebarang program, projek pembangunan dan juga pelbagai insentif disediakan sejak dulu lagi,” katanya.