Halaman

05 September 2013

Golongan imam perlu manfaat jalur lebar

Oleh: Aida Abd Rahman

Kementerian Komunikasi dan Multimedia menyarankan supaya golongan imam memanfaatkan kemudahan jalur lebar yang disediakan kerajaan bagi mengakses lebih banyak maklumat berkaitan agama untuk disampaikan kepada jemaah masing-masing.

Timbalannya, Datuk Jailani Johari berkata , kerajaan sudah menyediakan pelbagai program termasuk Kampung Tanpa Wayar yang membolehkan rakyat mengakses internet dengan mudah secara percuma.

"Saya menggalakkan golongan imam dan bilal gunakanlah kemudahan yang disediakan di sekitar kawasan masing-masing untuk memperkasakan ilmu dengan cara berkongsi pengetahuan dengan ahli agama bukan saja dalam negara malah luar negeri untuk memperkasakan ilmu masing-masing.

 "Dunia tanpa sempadan hari ini membolehkan kita meningkatkan ilmu agama bukan saja dengan pembacaan tetapi melalui perkongsian dan pertukaran maklumat daripada internet juga,"katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Program Jati Diri Imam dan Bilal di Pejabat Agama Daerah Hulu Terengganu, hari ini.

Seramai 200 peserta menghadiri kursus separuh hari itu bertujuan memperkasakan ilmu agama di kalangan imam dan bilal yang menjadi pemimpin masjid serta masyarakat Islam.

Dalam pada itu, Datuk Jailani berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang aduan rasmi daripada mana-mana pihak berkaitan penyebaran ajaran Syiah melalui laman sosial atau laman sesawang di negara ini.
"Kementerian hanya akan membuat pemantaun terhadap sesuatu isu yang menyentuh sensitiviti agama atau masyarakat jika terdapat permohonan daripada mana-mana pihak seperti permohonan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) baru-baru ini berhubung kes menghina agama Islam oleh pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee.

"Dalam hal ajaran Syiah ini JAKIM lebih pakar dan kita bersedia membantu jika terdapat permohonan daripada pihak mereka,” katanya.