Hasil gabungan tenaga 25 orang guru dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nilam berjaya mencipta Jalur Gemilang gergasi dalam usaha menunjukkan semangat kecintaan kepada negara.
Jalur Gemilang sepanjang 180 kali panjang dan 15 kaki lebar itu disiapkan dalam tempoh tiga hari secara gotong royong melibat 10 guru dan 15 pelajar untuk menjahitnya.
Pengetuanya Encik Wan Mohd Abdullah berkata, sambutan Hari Kebangsaan peringkat sekolah berkenaan diadakan setiap tahun dalam usaha menanamkan semangat kecintaan pelajar kepada negara.
``Bagaimanapun sambutan tahun ini kita sepakat membuat kelainan sedikit dan disambut dengan lebih meriah dengan menyiapkan Jalur Gemilang gergasi,’’ katanya ketika ditemui pada pelancaran Jalur Gemilang Gergasi di Dataran Nilam, SMK Seri Nilam, semalam.
Menurut beliau, idea menghasilkan Jalur Gemilang gergasi itu dicadangkan oleh beberapa guru yang diketuai Cikgu Abdullah Mamat dan Mohd Nor Taib dengan melibatkan kos kira-kira RM1,000.
Katanya, Jalur Gemilang gergasi itu akan direntangkan sepanjang pagar utama sekolah sebagai tanda penghargaan daripada warga SMK Seri Nilam yang melibatkan 120 guru dan 1,400 pelajar.
``Saya berharap program seumpama ini dapat diteruskan setiap tahun dengan penghasilan idea yang lebih kreatif bagi menaikkan semangat patriotik terutama di kalangan pelajar.
``Malah saya juga berbangga semangat kebersamaan dan penyatuan antara guru dan pelajar dalam menjayakan pelancaran Jalur Gemilang gergasi itu,’’ katanya.
Sempena dengan majlis pelancaran itu turut diadakan deklmasi puisi dan persembahan lagu-lagu patriotik oleh pelajar.
Selain itu sepanjang kempen sambutan Hari Kemerdekaan yang akan berakhir pada 17 September ini, pelbagai aktiviti turut diadakan seperti penyerahan Jalur Gemilang kepada pelajar dan pertandingan yang bertemakan semangat kecintaan kepada Negara.