Halaman

03 September 2013

Kompleks Haji dan TH Hotel mampu meningkatkan ekonomi negeri

Oleh; Esah Abdullah

Kompleks Haji dan TH Hotel yang terletak di Gong Badak akan menjadi altenatif penginapan terbaik bagi para pelancong yang berkunjung ke Terengganu.

Pengarah Kumpulan Utusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Dato’ Paduka Ismee Ismail berkata, kompleks ini bukan sahaja memberi kemudahan kepada bakal jemaah haji tetapi juga dibuka kepada orang ramai sepanjang tahun.

“Yang pasti kompeks dan hotel ini akan turut membantu menjana ekonomi umat Islam di negeri ini,” katanya di Majlis perasmian Kompleks Haji dan TH Hotel di Gong Badak Kuala Nerus, Kuala Terengganu semalam.

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan Kompleks Haji dan TH Hotel yang keempat di negara ini. Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah turut berangkat ke majlis berkenaan.

Katanya, TH Hotel dilengkapi dengan bilik-bilik mesyuarat pelbagai fungsi bagi program latihan dan seminar di samping pusat konvensyen yang mampu menampung kapasiti 1,000 orang dan boleh ditempat oleh syarikat dan orang persaorangan.

Kemudahan lain katanya, ialah restoran, dua buah kolam renang termasuk kolam renang tertutup untuk kaum wanita dan taman air kanak-kanak.

Katanya, selain daripada kompleks dan hotel di negeri ini TH juga telah membina kompleks yang seumpamanya di Sabah, Pulau Pinang dan Kedah manakala Kompleks Haji yang terletak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) masih dalam pembinaan dan dijangka siap pada 2016.

Sehubungan itu katanya, Kompleks Haji yang baharu ini bakal mengendalikan lima penerbangan terus dari Kuala Terengganu ke Tanah Suci melibatkan 1,400 bakal jemaah haji pada musim ini.

Dato’ Paduka Ismee kemudiannya merakamkan jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana telah memberi kerjasama padu dalam pembangunan kompleks dan hotel ini termasuk menyediakan tanah seluas 3.08 hektar bagi tapak kompleks.