Halaman

31 August 2013

Terengganu catat kelahiran 24 bayi

Menteri Besar dan isteri memotong kek meraikan bayi merdeka yang lahir di HSNZ.
Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra

 Terengganu mencatatkan seramai 24 bayi selamat dilahirkan di hospital seluruh negeri ini ketika masyarakat menyambut Hari Kemederdekaan Ke 56.

 Berdasarkan bilangan itu, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) mencatatkan bilangan kelahiran paling tinggi iaitu seramai 10 bayi diikuti Hospital Kemaman (5 bayi) dan Hospital Dungun pula 4 bayi.

To'  Puan Seri Hajah Norliza Mahmud memangku bayi pertama yang lahir selepas ambang merdeka ditemani Dato' Seri Haji Ahmad Said dan ibu bayi berkenaan.
Manakala Hospital Besut dan Hospital Setiu masing-masing (2 bayi) dan paling rendah Hospital Hulu Terengganu dengan bilangan seorang bayi.

 Timbalan Pengarah (Perubatan) Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Muhammad Omar, berkata semua bayi yang dilahirkan sempena sambutan hari merdeka itu dicatatkan dalam tempoh 12 jam di mana catatan terakhir pada jam 12.00 tengah hari ini.

“Bayi paling awal selamat dilahirkan adalah di HSNZ pada jam 12.24 pagi tadi, dan kemungkinan ada beberapa lagi bayi bakal dilahirkan di seluruh Terengganu pada sambutan 31 Ogos kali ini,” katanya.


Sementara itu, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata masalah kesesakan pesakit terutama yang melibatkan kes bersalin di HSNZ dijangka dapat diselesaikan apabila Kompleks Pakar Materniti dijangka siap akhir tahun ini.

“Dengan tambahan katil di kompleks itu sebanyak 210 unit dan katil bersalin sebanyak 24 unit, insyaAllah masalah ini akan dapat diatasi.

 “Pada sama sama, kompleks itu juga dapat menyelesaikan masalah parkir di HSNZ apabila sebanyak 385 parkir dibina untuk kemudahan menempatkan kenderaan di bangunan lima tingkat berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas meraikan kelahiran bayi merdeka di HSNZ, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, To' Puan Norliza Mahmud bersama beberapa rombongan lain.

Dato’ Ahmad turut memberitahu, kerajaan negeri tumpang bangga di atas kelahiran bayi ketika masyarakat menyambut Hari Kemerdekaan Ke 56.

 “Diharapkan `bayi-bayi merdeka’ ini mendapat didikan yang sempurna daripada ibu bapa mereka di samping dapat mengerti apa itu kemerdekaan sebenar apabila dewasa kelak,” katanya.