Halaman

25 August 2013

PMINT sasar peroleh pendapatan sewaan RM30 juta

Oleh: Suriati Ali

Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) mensasarkan perolehan sebanyak RM30 juta atau 80 peratus pendapatan tahunan menerusi sewaan aset menjelang 2017.

 Pengurus Besar PMINT, Dato' Osman Muda berkata, pihaknya yakin jumlah itu dapat dikumpul dan dijana kerana sehingga Jun lalu, sebanyak RM12 juta (49 peratus) pendapatan sewaan dapat dilkumpul.

 “Apa yang membanggakan, jumlah itu (49 peratus), sudah hampir dengan sasaran yang diminta kerajaan negeri dan Ahli Mesyuarat Lembaga PMINT iaitu sebanyak 50 peratus pendapatan sewaan , sepanjang tahun ini.

“Kita jana pendapatan itu, menerusi pelbagai aset termasuk, premis bangunan, kediaman, perkedaian, ruang niaga, pejabat, bengkel dan kilang industri,” katanya.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengagihkan sumbangan hamper dan duit raya kepada 150 individu terdiri warga emas, fakir miskin dan anak yatim sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, hari ini.

Dato’ Osman turut memberitahu, pendapatan hasil sewaan aset akan bertambah apabila beberapa projek mega seperti PB Sentral, Plaza Paya Bunga dan PB Square beroperasi kelak.

“Ketiga-tiga projek itu antara penyumbang besar yang bakal diperoleh PMINT, di mana PB Square yang kini hampir 90 peratus siap dibina mampu memperoleh pendapatan antara RM12 hingga RM 15 juta setahun,” katanya.

 Katanya, PMINT berazam meneroka lebih banyak bidang ekonomi baru supaya dapat merancakkan lagi sosio-ekonomi setempat dan mengubah lanskap pembangunan negeri.

 “Sememangnya menjadi tanggungjawab PMINT untuk menyediakan kemudahan yang menggalakkan pertumbuhan ekonomi di kalangan rakyat negeri ini dan sehingga kini, PMINT sudah membangunkan banyak projek perumahan dan perkedaian di seluruh Terengganu.

 “Selain menjana pendapatan menerusi jualan hartanah seperti premis perkedaian, ruang pejabat dan perumahan, PMINT juga diberi tanggungawab oleh kerajaan negeri sebagai penyelia projek Perumahan Awam Kos Rendah di seluruh Terengganu sejak 2009,” katanya.