Teks dan gambar: Aminudin Ismail.
Beginilah keadaan sebuah rumah di Felda Chalok yang sudah diubahsuai. |
KESUSAHAN hidup pada masa lalu berbanding pada hari ini, sememangnya dirasai oleh golongan berumur terutamanya mereka berusia 50 tahun dan ke atas tetapi tidak bagi golongan remaja dan belia kini yang dilahirkan dengan limpahan kesenangan akibat kemajuan pesat negara terutamanya remaja yang dilahirkan sekitar alaf baru.
Bagi peneroka Felda, kesenangan hidup yang mereka nikmati hari ini adalah bermula dari kesusahan yang mereka tempuhi ketika mula-mula meneroka tanah rancangan kira-kira 40 tahun lalu.
Selut lumpur yang mereka lalui dahulu kini dibayar dengan kehidupan yang jauh lebih baik berbanding dengan rakan-rakan yang tidak menyertai Felda.
Bagi beberapa peneroka di Felda Chalok Barat, Setiu, ketika di temui, kebanyakan mereka bersyukur dengan nikmat yang dlimpahkan dan menganggap usaha yang dilakukan Allahyarham Tun Abdul Razak adalah satu usaha murni yang perlu dihargai selama-lamanya.
Jika dahulu ketika mula-mula menyertai Felda, kehidupan mereka agak susah, daripada kira-kira 350 peneroka, hanya dua atau tiga peneroka yang memiliki kereta, 10 dan 15 orang memiliki motosikal dan yang selebihnya mengunakan basikal ataupun berjalan kaki untuk bergerak ke mana-mana.
Jalan masuk dari Sungai Lerek ke Felda Chalok Barat pula bertanah merah dan mereka akan berlumpur setiap kali musim hujan, bagi yang berbasikal mereka akan memikul basikal mereka untuk melepasi jalan yang becak.
Selepas lima tahun barulah jalan itu diletak batu sebelum ditar beberapa tahun kemudian.
Bekalan elektrik pula dibekalkan selepas tiga tahun, itupun elektrik 12 jam yang akan dihidupkan pada enam petang dan dimatikan tujuh pagi keesokannya.
Manakala hanya beberapa peneroka sahaja memiliki peti televisyen dan untuk menontonya dikenakan bayaran sekitar lima ataupun 10 sen, ketika itu paling popular ialah rancangan Tayangan Gambar Melayu.
Untuk mandi, penghuni rumah terpaksa berkongsi satu paip besar untuk enam keluarga, mereka terpaksa mandi awal supaya tidak berebut. Paip yang disalurkan ke setiap rumah hanya ada selepas kira-kira lima tahun menetap.
Pendapatan peneroka ketika itu, hanya lah RM70 sebulan dan mereka terpaksa keluar bekerja di tempat lain selama tiga tahun sebelum pokok getah mereka mengeluarkan hasil.
Selepas itu, barulah dirasai sedikit kesenangan, baru boleh beli motor baru, boleh beli peti televisyen dan keluar membeli belah di bandar berhampiran.
Masa silih berganti, “kesengsaraan dan kepayahan” yang mereka kecapi mula menampakan sinar.
Kehidupan sudah mula berubah sehinggalah ke hari ini tetapi tidak semua dapat menikmati kehidupan yang lebih sempurna itui kerana mereka terlebih dahulu pergi menyahut seruan ilahi.
Bagi yang masih hidup, mereka kini bukan seperti peneroka dahulu, mereka kini setanding dengan kakitangan kerajaan malah ada yang menjalani kehidupan lebih mewah kerana anak-anak semuanya sudah berjaya dan bergaji besar.
Rata-rata rumah peneroka sekarang sudah diubahsuai jauh lebih baik dan cantik dari dahulu malah ada yang mempunyai lima atau enam bilik dan berpagar batu berbanding rumah asal mereka yang diperbuat dari kayu yang mempunyai hanya dua bilik.
Rumah peneroka asal ketika mula-mula masuk Felda. |
Terima kasih Felda, terima kasih kerajaan Barisan Nasional, itulah yang diungkapkan oleh beberapa peneroka yang ditemui.
Walaupun kehidupan mereka tidak semewah ahli perniagaan tetapi rata-rata mereka berpuashati dengan apa yang diperolehi kerana mereka mungkin berkata,“Kalaulah aku tidak berada di Felda agaknya aku tidak dapat mengecapi kehidupan sebagaimana sekarang.”
Selamat menyambut kemerdekaan yang ke 56, semoga negara kita akan terus kekal aman dan makmur serta menjadi semua negara maju menjelang 2020.