Halaman

26 August 2013

PEKAN BUDAYA DAERAH SETIU 2013 BERMULA

Oleh: Aminudin Ismail.

SETIU:  Kira-kira 1,000 penduduk sekitar daerah ini hadir pada majlis perasmian Pekan Budaya Daerah Setiu 2013 yang diadakan di Kampung Tarom, Bandar Permaisuri, di sini, malam semalam.

Pekan Budaya yang akan berakhir pada 31 Ogos dan menjadi acara tahunan itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman dan dihadiri oleh beberapa ketua jabatan daerah Setiu.

Dalam ucapan perasmiannya, Bazlan mengharapkan Pekan Budaya itu akan memberi banyak manfaat kepada penduduk daerah Setiu antaranya ialah bagi menghidupkan semula seni budaya dan membantu peniaga kecil memperkenalkan produk keluaran mereka.

"Melalui pelbagai aktiviti yang membabitkan seni budaya seperti permainan tradisional yang semakin dilupakan dapat dihidupkan semula dengan mempertontonkan kepada pengunjung yang hadir manakala peniaga kecil pula berpeluang mengetengahkan hasil produk mereka untuk mempertingkatkan jualan," katanya.

Antara yang terdapat di Pekan Budaya itu ialah gerai jualan, bilik pameran dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta serta permainan untuk kanak-kanak.



Beberapa kakitangan Risda daerah Setiu sedang menyiapkan gerai pemeran mereka di Pekan Budaya Daerah Setiu di Bandar Permaisuri, semalam.