Halaman

29 August 2013

Nik Ismail cacat akibat jatuh pokok kelapa

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

SEORANG Orang Kurang Upaya (OKU) dari Kampung Sungai Lerek, Setiu yang menerima bantuan bulanan dari kerajaan berjumlah RM300 tabah menghadapi hidup walaupun dia tidak mampu bergerak dengan sempurna kerana mengalami kecacatan dari bahagian pinggang hingga ke kaki.

Nik Ismail di rumahnya di Kampung Sungai Lerek terima bantuan RM300 sebulan dari kerajaan.
Nik Ismail Abdullah, 56, yang cacat akibat terjatuh dari pokok kelapa kira-kira 30 tahun lalu itu berterima kasih kepada kerajaan terutamanya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana memberi bantuan bulanan itu bagi menampung perbelanjaan sejak 20 tahun lalu.

“Baru-baru dulu saya hanya menerima RM40 sebulan selama beberapa tahun tetapi bantuan itu dinaikan kepada RM50, RM100 dan kini saya menerima RM300 sebulan, cukuplah untuk menampung perbelanjaan saya kerana saya tidak mempunyai isteri dan anak,” katanya ketika berkunjung ke rumahnya, semalam.

Nik Ismail berkata, keperihatinan kerajaan terhadap OKU sepertinya membuktikan kerajaan sememangnya sentiasa mengambil berat tentang orang yang mengalami nasib sepertinya dan beliau berterima kasih kepada kerajaan. 

“Bukan saya tidak mahu bekerja tetapi dengan keadaan saya seperti ini saya tidak boleh melakukan kerja berat, dulu saya berniaga kecil-kecil dengan mengunakan motosikal khas tetapi sekarang saya sudah tidak berniaga lagi kerana sentiasa tidak sihat," katanya yang kakinya terpaksa dipotong beberapa bulan selepas kemalangan itu.

Selain mendapat bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, Nik Ismail juga mendapat bantuan tahunan dari Yayasan Terengganu dan menerima zakat dari Maidam.