Halaman

31 August 2013

Usah bina tembok pemisah – MB

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said bersama barisan exco dan pegawai kanan kerajaan melaungkan Merdeka sebanyak tiga kali.
Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh Zulkipli Putra

Rakyat negeri ini diminta supaya tidak membina tembok pemisah akibat perbezaan politik hingga menyekat usaha menyatupadukan penduduk tempatan.

Perarakan dimulakan dengan pembawa Jalur Gemilang berarak dari Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah ke Batu Buruk.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sepatutnya perbezaan fahaman politik tidak perlu dijadikan alasan untuk rakyat berpecah belah hingga melemahkan bangsa, agama dan negara.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat Terengganu mengambil semangat sambutan ulangtahun kemerdekaan negara ke-56 tahun ini, untuk kembali bersatu bagi mengukuhkan masyarakat dan negara.

Katanya, tema sambutan hari kebangsaan tahun ini ‘Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku' membawa erti yang besar dalam usaha memupuk semangat cintakan negara di kalangan semua bangsa.
Upacara menaikkan bendera Malaysia, Jalur Gemilang.
“Semangat cintakan tanah air perlu ada pada setiap individu tanpa mengira bangsa bagi menguatkan lagi kedudukan negara kita,” katanya ketika membacakan perutusan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-56 peringkat negeri Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, hari ini.










Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zuber Embong; Setiausaha Kerajaan Negeri; Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Agung Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56 Peringkat Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang, pembesar negeri dan pemimpin kanan kerajaan.

Majlis tersebut yang bermula jam 7.35 pagi itu dimulakan dengan upacara penyerahan Jalur Gemilang kepada Menteri Besar dan diikuti upacara menaikkan jalur Gemilang.

Selepas Menteri Besar melaungkan ‘merdeka’ sebanyak tiga kali acara perarakan kontinjen yang mengambil bahagian dimulakan.