Halaman

27 August 2013

TMT Merdekaraya Dive 2013 di Pulau Bidong

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri menerusi Sekretariat Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 akan menganjurkan
program `TMT Merdekaraya Dive 2013’ di Pulau Bidong, pada 30 Ogos hingga 1 September ini.

 Program julung kali dengan kerjasama Yayasan Coral Malaysia dilaksanakan sempena ulang tahun Kemerdekaan Malaysia ke-56 pada 31 Ogos ini dan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Sekretariat TMT 2013, Encik Ahmad Fathil Abd Ghani, berkata peserta program bakal menaik dan mengibarkan Jalur Gemilang serta merakam sambutan hari raya di daratan dan dasar laut Pulau Bidong.

“Program bertujuan meraikan sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-56 dengan menghargai dan memulihara khazanah laut dan darat negara.

“Pada masa yang sama acara itu akan mempromosikan TMT menerusi program konservasi, sekali gus dapat membersih kawasan pantai dan jeti Pulau Bidong yang tidak berpenghuni sejak sekian lama,” katanya.

Encik Ahmad Fathil berkata, program ini juga dapat memerkukuh dan mempromosi nilai serta semangat konservasi di kalangan rakyat terutama golongan muda. Menurutnya, kesinambungan dari acara itu pihaknya juga mahu menyediakan forum untuk membincang dan mencambah minda bagi tujuan pembangunan pelancongan di pulau bersejarah itu.

Katanya, peserta dan media dari luar Terengganu dijangka akan bertolak dari Kuala Lumpur sejak 30 Ogos dan sebaik tiba keesokannya, mereka akan berkumpul di Jeti Merang, Setiu sebelum berlepas ke Pulau Bidong, kira-kira jam 11 pagi.

“Kesemua media dan peserta akan mengikuti aktiviti yang disediakan urusetia sebaik sampai di pulau itu seperti dialog, kerja membersih darat dan dasar laut, program mengibar Jalur Gemilang dan bendera TMT serta jamuan merdekaraya.

“Sementera majlis perasmian penutup dijangka akan disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Rakit, Haji Bazlan Abd Rahman yang mewaikili Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, sebelum program tamat kira-kira lima jam kemudian dan semua peserta kembali ke jeti Merang,” katanya