Halaman

30 August 2013

Tahap kesedaran masyarakat cegah jenayah makin baik

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pencegahan jenayah semakin meningkat apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Terengganu menerima lebih 3,000 pemberitahuan dari penduduk seluruh Terengganu yang meninggalkan rumah semasa musim perayaan tahun ini, berbanding hanya 700 pemberitahuan tahun lalu.

Dato' Jamshah bersama sebahagian tetamu yang hadir pada Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidifitri PDRM Kontinjen  Terengganu di IPK Terengganu.
Daripada pemberitahuan tahun ini juga, tiada sebarang laporan kejadian pecah masuk dan kecurian di kediaman berkenaan sepanjang pengawasan pihak berkuasa.

Ketua Polis Terengganu, Dato’ Jamshah Mustapa berkata, perkembangan itu membuktikan satu kejayaan apabila tiada kes jenayah melibatkan pecah rumah di semua 3,000 lebih pemberitahuan meninggalkan rumah itu.

Dato' Ahmad Razif turut hadir pada majlis berkenaan.
“Tiada satu pun rumah yang dilaporkan untuk pengawasan kita itu dipecah masuk dan itu suatu kejayaan. Sebab sebelum ini kita menerima 700 lebih sahaja pemberitahuan, maknanya tahun ini berlipat kali ganda tetapi amat berkesan (mengurangkan jenayah).

 “Apabila terdapat pemberitahuan, kita akan meningkatkan rondaan lebih kerap berbanding tempat lain, memandangkan penghuni rumah berkenaan sudah memberitahu kita, jadi tanggungjawab kita mengawasi tempat tinggal mereka,” katanya kepada pemberita di Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri PDRM Kontinjen Terengganu Bersama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Terengganu 2013, di Perkarangan Ibu Pejabat Kontinjen Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi MCPF Terengganu, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman.

Dato’ Jamshah berkata, PDRM menawarkan perkhidmatan untuk memantau dan mengawasi seluruh kawasan yang dimaklumkan oleh penghuni rumah bagi menghindari sebarang kejadian jenayah terutama pecah rumah ketika penghuni meninggalkan kediaman pulang bercuti pada musim perayaan.

“Kita menggandakan pengawasan dan perhatian, sebab itu kita tidak membenarkan anggota kita, MPV,  kereta peronda, trafik bercuti bagi memastikan mereka dapat memantau ke seluruh tempat,” katanya.

Beliau berkata, pemberitahuan meninggalkan rumah itu juga menjadi indikator bahawa tahap kesedaran masyarakat semakin baik untuk mencegah kejadian jenayah dan membantu polis mengawasi kawasan tempat tinggal mereka dari kejadian tidak diingini terutama pecah rumah.