Halaman

26 August 2013

Pertandingan sihat peringkat Umno bahagian

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Ketua Penerangan Umno Negeri, Dato’ haji Ahmad Razif Abd Rahman (gambar kecil) berharap semua pihak yang menawarkan diri bertanding pelbagai jawatan peringkat bahagian di negeri ini bermuafakat bagi mengurangkan pertandingan, sekaligus mengelakkan ketegangan dalam parti.

Bagaimanapun, beliau mengganggap pertandingan yang berlaku sebagai suatu yang sihat dan turut membuktikan Umno tidak ketandusan pemimpin berwibawa serta berketrampilan bagi menganggotai jawatankuasa tertinggi pertubuhan itu.

“Saya mendengar ramai yang menawarkan diri (untuk bertanding pelbagai jawatan tertinggi dalam bahagian) dan mereka daripada pelbagai peringkat sama ada orang lama, orang muda, malah tidak kurang juga mempunyai jawatan dalam kepimpinan negeri dan negara.

 “Ia merupakan perkembangan yang sihat sekali gus menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa Umno ketandusan pemimpin,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri anjuran Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom), di Jalan Pejabat, Kuala Terengganu, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Dato’ Ahmad Razif yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yakin tidak akan berlaku pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno kerana melihat reaksi serta harapan semua perwakilan Umno yang masih mahu mengekalkan kepimpinan tertinggi Umno yang sedia ada.

 “Untuk jawatan lain termasuk Naib Presiden, Majlis Tertinggi dan peringkat bahagian (selain presiden dan timbalan presiden) tiada masalah kerana kita (Umno) mengamalkan konsep demokrasi.

“Bagaimanapun, kita akan memikirkan kaedah terbaik untuk kita mengurangkan berlakunya pertandingan,” katanya.

Menurutnya, jika berlaku pertandingan sekalipun, beliau berharap ia berlangsung dengan aman seumpama `adik-beradik’ dalam ikatan persaudaraan yang utuh.

Beliau berharap semua pihak menerima baik sebarang keputusan pemilihan di peringkat bahagian di seluruh negeri ini.