Halaman

28 August 2013

Naik taraf jalan

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan akan menaik taraf beberapa jalan di negeri ini bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya terutama kawasan yang kerap terjadi kemalangan maut khususnya pada musim perayaan lalu.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Pengangkutan Awam, Transformasi Kerajaan dan Teknologi Maklumat negeri, YB Mohd Iskandar Jaafar berkata, kerajaan bersedia mempertimbangkan saranan orang ramai untuk menaik taraf beberapa jalan untuk keselesaan pengguna jalan raya.

“Saya akan bawa perkara ini ke mesyuarat kerajaan negeri secepat mungkin supaya tindakan lanjut dapat diambil bagi mengelak berulangnya kemalangan maut,” katanya.

Katanya, antara jalan yang menjadi rungutan orang ramai adalah laluan utama Kampung Alur Serdang Bintang hingga ke persimpangan Felda Selasih dan Jalan Kuala Terengganu ke Kota Bharu yang sering berlaku kemalangan maut kerana permukaan jalan tidak rata.

Menurutnya, ketiadaan lampu jalan juga menyebabkan kawasan berkenaan gelap pada waktu malam dan menyebabkan kekeliruan kepada pengguna jalan raya.

Kerajaan memandang serius perkara ini dan akan mengambil tindakan segera untuk mengekang berlakunya kemalangan berterusan di kawasan berkenaan,” katanya.