Halaman

28 August 2013

Kerajaan negeri tidak halang bakal doktor berkhidmat di luar negara

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri tidak menghalang pelajar bidang perubatan di bawah tajaan Yayasan Terengganu untuk berkhidmat di luar negara kerana mereka bebas memilih tempat bekerja setelah menamatkan pengajian di luar negara kelak.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Inovasi & Tugas-tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib berkata, kerajaan negeri tidak mengikat mereka untuk bekerja samada dengan pihak kerajaan ,swasta atau sebagainya di negara ini.

"Malah kalau mendapat peluang di luar negara, mereka boleh terus berkhidmat di sana,” ujarnya pada sidang media selepas menghadiri Mjalis Makan Malam Raya Bersama mahasiswa Luar Negara 2013 di Riyaz Hetitage Resort, baru-baru ini.

Walau bagaimanapun menurut beliau, sebagai persediaan menampung keperluan doktor di negeri ini, selain mempunyai hospital-hospital swasta, kerajaan negeri turut mendapat kelulusan daripada kerajaan pusat iaitu dengan penubuhan tempat mengadakan latihan perubatan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

"Hospital ini mempunyai kapasiti 400 buah katil dan dapat menampung sejumlah besar bakal-bakal doktor yang bakal berkhidmat di Terengganu.

"Jumlah doktor yang tamat pengajian di luar negara samada di Jordan, Mesir, atau Rusia mencukupi malah boleh berkhidmat di Terengganu dengan kekosongan yang ada,” ujarnya.

Keseluruhan pelajar di bawah tajaan Yayasan Terengganu dalam pelbagai bidang setakat ini di seluruh negara termasuk Timur Tengah, Rusia dan juga negara-negara yang lain lebih kurang 600 orang.