Halaman

29 August 2013

Putera Jaya, Setiu jadi tumpuan ramai

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.
PEMBANGUNAN pesat Bandar Permaisuri , Setiu menjadikan Kampung Pak Kancil kini dikenali sebagai Putera Jaya, sebuah kampung terpencil suatu ketika daulu yang hanya dihuni beberapa keluarga kini bertukar wajah menjadi kawasan perumahan yang menjadi tumpuan ramai.

Antara rumah yang dibina di kawasan yang dahulunya kawasan hutan di Putera Jaya.
Selain penduduk setempat yang memiliki tanah di kawasan itu, penduduk luar Setiu juga memilih tempat itu sebagai tempat tinggal kekal mereka dengan membina rumah di atas tanah yang dibeli dari penduduk setempat.

Tinjauan Teganukita mendapati, rumah-rumah baru wujud bagaikan cendawan tumbuh di Putera Jaya samada melalui projek perumahan swasta ataupun persendirian dan beberapa buah rumah lagi sedang dalam pembinaan dan akan dibina oleh pemilik tanah sekaligus akan menjadikan kawasan itu padat dengan penduduk menjelang 2020.


Hartanah juga meningkat berkali ganda, jika 10 tahun dahulu nilai harga satu lot tanah perumahan sekitar RM10 ribu hingga RM20 ribu kini ianya mencecah sehingga RM30 ribu hingga ke RM45 satu lot berganding pada saiz tanah.
Keperihatinan kerajaan Barisan Nasional membina jalan-jalan ke kawasan perumahan baru dalam tempoh yang singkat menjadikan antara faktor orang-ramai mendirikan rumah masing-masing di atas tanah milik mereka malah beberapa jalan dibina terlebih dahulu sebelum wujudnya kawasan perumahan bagi memberi kemudahan kepada orang –ramai.

Walaupun rumah belum didirikan tetapi kerajaan membina jalan terlebih dahulu.

Kemudahan sekolah juga antara faktor mengapa orang ramai memilih Putera Jaya sebagai tempat tinggal mereka kerana terdapat dua buah sekolah rendah dan dua sekolah menengah di kawasan itu, ini memudahkan ibu-bapa untuk menghantar anak mereka ke sekolah.

Penduduk, Norzawatil Ishqi Ismail, 36, berkata, dia memilih untuk membina rumah dan menetap di Putera jaya kerana yakin kawasan itu akan menjadi kawasan maju suatu hari nanti dengan mempunyai penduduk yang padat.

“Dulu rumah saya dan sebuah rumah lain yang ada di berhampiran rumah saya tetapi dalam tempoh tidak sampai 10 tahun saya tinggal di sini, wujud lebih 10 buah rumah berhampiran rumah saya dan jika dahulu saya agak bimbang juga tinggal di sini tetapi kini perasaan itu berkurang dan saya harap lebih banyak lagi rumah akan di bina di sini,” katanya.

Seorang lagi penduduk yang mahu di kenali sebagai Asri, 42, berkata dia dalam tempoh sepuluh tahun lagi, hampir kesemua tanah di Putera Jaya akan dipenuhi rumah kerana beberapa kawasan baru sudahpun diteroka oleh pemilik tanah untuk mendirikan rumah masing-masing.

Di Putera Jaya terdapat rumah Pegawai Daerah, rumah kakitangan Pejabat Daerah, perumahan kakitangan Jabatan Pengankutan Jalan (JPJ), taman perumahan pertama di daerah Setiu, sebuah taman perumahan yang dibina swasta, perumahan guru, masjid, perkedaian dan lain-lain.