Halaman

20 September 2013

Ahli Parlimen Setiu rasmi sukan SKKF

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

Zulkifly (dua dari kanan) mulakan acara tarik tali.
SETIU: Setiap murid yang aktif bersukan diminta tidak mengabaikan pelajaran dengan mengimbangi antara sukan dan pelajaran, kata Ahli Perlimen Setiu, Che Mohd Zulkifly Jusoh ketika berucap merasmikan acara penutup Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan Kampung Fikri (SKKF), di sini, semalam.

Selain itu, Zulkifly berkata, pembabitan ibubapa dalam dan golongan muda dalam beberapa acara sukan sekolah itu ianya boleh merapatkan hubungan antara penduduk dan pihak sekolah dan boleh mewujudkan kemesraan dan kerjasama.

“Walaupun setiap pelajar harus mengikuti kegiatan sukan yang diadakan di sekolah namun setiap pelajar tidak semestinya mengabaikan pelajaran tetapi sebaliknya pelajar perlu mengimbangi kedua-duanya supaya anak-anak menjadi pelajar yang cemerlang dan terbaik demi masa depan.

“Saya juga difahamkan sukan tahunan ini bukan sahaja disertai murid-murid tetapi ada melibatkan ibubapa dan golongan muda. Sebagai Wakil Rakyat saya bangga dan bersyukur kerana pembabitan mereka itu bukan sahaja boleh mewujudkan hubungan baik penduduk dan pihak sekolah tetapi ia juga boleh mengeratkan hubungan dan kerjasama kedua-dua pihak terbabit,” katanya.

Kami Juara..pasukan Kenari bergambar gembira.
 Dalam ucapanya itu juga, sebagai Wakil Rakyat yang baru, Zulkifly berjanji akan berusaha menyelesaikan beberapa masalah penduduk Kampung Fikri dan meminta penduduk memberi sepenuh kerjasama kapadanya dalam menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

Ibrahim (dua dari kanan) dan tetamu jemputan yang hadir.
Sementara itu, Guru Besar SKKF, Ibrahim Awang berkata, dia mengucapkan terima kasih kepada Zulkifly kerana hadir merasmikan sukan tahunan ke 16 sekolahnya dan memberi sumbangan kewangan kepada pihak sekolah.

“Dalam kejohanan kali ini, pasukan Kenari iaitu rumah kuning menjadi johan manakala tempat kedua dan ketiga ialah pasukan Merak dan Bangau. Perbarisan Terbaik juga dimenangi Kenari manakala Khemah terbaik ialah rumah Merak.

"Pada majlis penutup itu, terdapat juga acara selingan untuk penonton  iaitu pertunjukan paramoto dan kapal terbang kawalan jauh,” katanya.


19 September 2013

Fakruddin tabah jalani kehidupan.

Teks dan gambar Aminudin Ismail.

Fakruddin aktif walaupun OKU.
BERBEKALKAN minyak urut dan sebatang kayu kecil, Fakruddin atau nama penuhnya, Fakruddin Zakaria, akan memenuhi permaintaan siapa sahaja yang mahu mendapat khidmatnya untuk mengurut cara refleksologi terutama pelanggan tetapnya dengan mengenakan bayaran yang berpatutan.

Pemuda yang pernah menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini tidak pernah menyesal walaupun tidak dapat menamatkan pengajiannya dan gagal memperolehi segulung diploma kerana di serang penyakit saraf yang menyebabkan dia tidak bergerak selama beberapa bulan kerana lumpuh dari pinggang ke bawah.

“Saya sedang hampir menamatkan pengajian iaitu pada semesta akhir saya tiba-tiba mengalami jangkitan kuman pada tulang menyebabkan kaki saya terpaksa dipotong hingga ke paras lutut dalam tempoh hanya sebulan terkena penyakit itu.

 “Sebelum itu saya sudahpun bertongkat kerana menghidap spinal iaitu sejenis penyakit yang membabitkan saraf selepas terjatuh di sekolah ketika dalam darjah dua,” cerita Fakruddin yang berusia 33 tahun dan masih bujang itu.

 Akibat penyakit itu, Fakruddin yang tinggal di Kampung Tuan Mandak, Batu Enam, Kuala Terengganu itu, mengalami kemurungan hampir lima tahun dengan hanya tinggal di dalam rumah kerana tidak boleh melakukan sesuatu pekerjaan akibat penyakit yang anggap misteri menimpa dirinya itu.

 “Selama lima tahun saya buntu, hanya terlantar di katil dan bergerak di kawasan rumah sahaja dengan kerusi roda. Fikiran saya tidak berfungsi untuk berfikir bagi meneruskan kehidupan sehinggalah saya bertemu dengan kawan-kawan senasib melalui persatuan barulah saya boleh menerima hakikat penyakit saya itu dan dapat meneruskan kehidupan sebagaimana biasa,” katanya.

Mahir urut refleksologi.
Fakruddin yang tinggal bersama bapa saudaranya sejak kecil itu, sememangnya seorang cekal dalam hidup, miskipun tidak pernah merasai kasih sayang seorang ibu sendiri kerana kematian ibu ketika dia dilahirkan namun Fakruddin tetap membesar sebagaimana kanak-kanak.

“Emak meninggal ketika melahirkan saya, dan selepas itu saya tinggal bersama bapa saudara sehinggalah sekarang. Saya sudah anggap bapa saudara saya seperti bapa saya sendiri manakala bapa sendiri saya tidak putus hubungan dengan saya.

“Bagaimanapun, hubungan saya dengan bapa kandung tidak putus kerana saya sering juga ke rumahnya walaupun dia tidak memelihara saya.

"Saya mempunyai empat adik beradik di sebelah bapa saudara dan sebelah bapa saya juga empat beradik, saya anak bongsu” katanya yang turut kehilangan ibu saudara yang memeliharanya beberapa tahun lalu. 

Selain itu, Fakruddin juga penah beberapa kali balik ke kampungnya di Batu Enam, Kuala Terengganu dari Shah Alam dengan menonggang motosikal roda tiga yang memakan masa perjalanan kira-kira 12 jam.

“Saya sudah biasa naik motosikal roda tiga ketika menuntut di Uitm dulu malah beberapa kali saya bagi dengan motosikal itu, walaupun jauh dan memenatkan tetapi saya kuatkan semangat setiap kali perjalanan untuk pulang ke kampung,” katanya. Fakruddin yang kini aktif mengeruskan POKUAT iaitu sebuah persatuan yang menguruskan dan membantu orang yang senasib dengannya.

"Pokuat kini dianggotai lebih 400 ahli dari seluruh Terengganu dan persatuan itu aktif menjalankan pelbagai aktiviti. Terima kasih juga kepada kerajaan negeri kerana menghulurkan beberapa bantuan untuk Pokuat dan juga kepada seluruh OKU di negeri ini," katanya.


Budaya integriti perlu sokongan semua

Oleh: Aida Abd Rahman

Pembudayaan integriti memerlukan sokongan semua pihak termasuk kepimpinan dan masyarakat bagi memastikan negeri dan negara amnya, kekal berada pada landasan keamanan dan kemakmuran.

Timbalan Pengerusi II Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Terengganu, YB Haji Bazlan Abd Rahman, berkata komitmen masyarakat amat dituntut bagi menjayakan usaha itu kerana jika hanya pihak kerajaan sahaja komited mengamalkannya pasti usaha itu sukar direalisasikan.

“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Terengganu juga perlu melaksanakan tugas dengan telus dan amanah bagi mengelak tercetus kemarahan rakyat kepada pihak kerajaan.

“Setiap kakitangan harus menanam nilai murni dan jiwa yang lebih baik tulus dan ikhlas supaya mampu mewariskannya kepada generasi akan datang,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutup Forum Ke Arah Membudayakan Intergriti Dalam Kalangan Ahli-Ahli Majlis PBT Negeri Terengganu di Hotel Prinz Park,Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden Institusi Integriti Malaysia, Dr A Bakar Sarpon; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pengajian Strategik dan Integriti Terengganu, Datuk Tengku Farok Hussin tengku Abdul Jalil.

Haji Bazlan berkata, Malaysia berada pada kedudukan ke- 54 dalam indeks persepsi rasuah daripada 176 negara pada tahun lalu, iaitu semakin meningkat berbanding kedudukan ke-60 dua tahun lalu.

“Bagaimanapun, Singapura pula berada pada 10 kedudukan terbaik, maka itu menjadi cabaran kepada kita khususnya pihak PBT untuk menjamin berada pada tahap lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Katanya, PBT harus menyokong kesungguhan kerajaan dengan mengamalkan sikap tulus, ikhlas dan amanah dalam melaksanakan tugas bagi memerangi gejala rasuah yang boleh mengancam kepada kestabilan ekonomi dan keamanan negara.


Kafa mampu percepatkan proses pembangunan negara

Oleh: Suriati Ali 

 Sistem pendidikan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) akan lebih berfungsi, jika pihak berkaitan melaksanakannya dengan lebih cekap dan berkesan melalui pelan perancangan yang dikemaskini dan tersusun.

 Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Dato’ Haji Othman Mustapha, berkata strategi itu mampu membantu menjana dan mempercepatkan proses pembangunan negara berteraskan pembinaan modal insan yang bersepadu dari segi pembangunan jasmani, emosi dan intektual.

Katanya sebaliknya pula, kegagalan kita melaksanakan program itu dengan lebih cekap dan berkesan akan membantutkan segala usaha untuk memacu kejayaan lebih cemerlang dalam pendidikan agama peringkat rendah di negara ini.

“Pendidikan Islam dilihat memainkan peranan utama untuk melahirkan guna tenaga manusia yang bukan saja berpengetahuan, mahir dalam pelbagai bidang.

 “Justeru kecemerlangan dan kemajuan negara ini lazimnya mempunyai kaitan antara pemantapan sistem pendidikan dengan perancangan pembangunan negara yang sedang dilaksanakan,” katanya.

 Beliau berkata demikian ketika membacakan tek ucapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Baharom pada Majlis Ijtimak Penyelia-penyelia Kafa peringkat Kebangsaan, di Permai Hotel, Kuala Terengganu, hari ini.

 Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas, Yb Ghazali Taib dan Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Md. Kamaru Al-Amin Ismail.

 Lebih 300 penyelia Kafa dari seluruh Malaysia menyertai program dua hari dan berakhir hari ini. Pelbagai pengisian dimuatkan, termasuk, motivasi dan ceramah hala tuju serta memperkasakan sistem pendidkan Islam.

 Dato’ Haji Othman turut memberitahu, tugas mendidik anak-anak bukan perkara mudah. Ia merupakan satu tugas yang amat mencabar emosi, fikikal dan intelektual ibu bapa.

 “Kepesatan dan kecanggihan alatan teknologi komunikasi menjadikan anak-anak kita begitu terdedah dengan pelbagai bentuk pengaruh persekitaran mereka,” katanya.

 

MB lancar Walk4Malaysia Ahad ini

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, akan menyempurnakan acara pelepasan Walk For Malaysia (Walk4Malaysia) di Dataran Kuala Besut, pada 22 September (Ahad) ini.

Pelbagai acara seperti senamrobik, silat dan dikir barat akan diadakan bagi memeriahkan acara tersebut yang membawa misi keamanan dan sokongan rakyat kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Seorang penduduk tempatan yang bernazar untuk berjalan kaki dari Kuala Besut ke Putrajaya jika BN menang pada Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Besut, 24 Julai lalu, akan menunaikan nazarnya melalui Program Walk4Malaysia yang dirancang Kerajaan Terengganu.

Mohd Nor Mat, 48, pekerja rendah am di Yayasan Islam Terengganu cawangan Besut, akan menunaikan impiannya berjalan kaki sejauh lebih 600 kilometer dari Kuala Besut ke Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Semangat kental dan kecintaannya terhadap BN yang menebal mendorong beliau untuk berjalan kaki bagi membuktikan sokongan kepada BN dan Kerajaan Terengganu.

Pada hari pertama, beliau yang pernah berjalan sejauh 380 kilometer dalam masa empat hari dari Kemaman ke Besut pada tahun 2008, akan berjalan kaki dari Dataran Kuala Besut ke Merang, Setiu sejauh 67.5 kilometer dalam tempoh 13 jam 35 minit.

Mohd.Nor Mat, dijadualkan bermalam di Merang dan meneruskan perjalanan pada hari kedua ke Batu Buruk Kuala Terengganu.

Majlis pelancaran Walk4Malaysia telah disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin Abu Bakar di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pada 13 September lalu.

Pelan pelaksanaan daerah baru Kuala Nerus diancar

Oleh; Esah Abdullah 

Kedudukan geografinya yang seimbang dalam konteks sempadan pentadbiran daerah baru dan tidak melibatkan perpindahan penduduk serta pembangunan boleh dilaksanakan dengan segera antara sebab utama pemilihan kawasan Kuala Nerus sebagai daerah baru.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, perletakannya dalam radius lima kilometer sahaja daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan juga Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan sekitar.

“Pemilihan kawasan ini bertujuan untuk membangunkan kawasan Terengganu Utara daerah Kuala Terengganu yang semakin pesat membangun,” katanya di majlis Perasmian Pelancaran Publisiti Draf Rancangan Kawasan Khas Pusat Pentadbiran daerah Kuala Nerus di Dewan Sivik Padang Nanas, Kuala Terengganu hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Sains Teknologi, Alam Sekitar, Teknoloji Hijau dan Air negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman dan Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Dato’ Haji Adzlan Mohd Dagang.



Kenamaan lain yang hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perancang Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia, Encik Kamaruddin Shamsuddin; Pengarah Perancang Bandar dan Desa Terengganu, Haji Mohd Anuar Maidin dan Pengurus Kanan Projek Daerah Baru Kuala Nerus, Haji Wan Harujan Sulaiman.



Katanya, tapak pusat pentadbiran daerah ini tidak melibatkan pengambilan balik memandangkan ianya dirancang di atas tanah milik kerajaan kecuali untuk pembinaan dan pembesaran tiga laluan masuk ke pusat bandar yang melibatkan tanah milik.

“Pembangunan pusat pentadbiran ini aan dilaksanakan secara bersepadu dengan pelaksanaan cadangan yang terkandung dalam pelan induk tebatan banjir dan system perparitan Baroh Tok Jiring untuk menangani masalah banjir,” katanya.

Menteri Besar kemudiannya mengalu-alukan penglibatan masyarakat untuk memberi maklum balas serta idea mengenai pelan pembangunan yang dirancang.

“Semua orang awam diberi peluang untuk menyemak laporan kajian berkenaan serta mengemukakan ulasan dan bantahan yang dibuka mulai 2 September hingga 1 Oktober depan,” katanya.
 









Kerajaan negeri berhasrat lahirkan Saintis Islam

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri berhasrat melahirkan Saintis Islam dari kalangan anak Terengganu dan bekerjasama dengan beberapa pihak untuk mengkaji beberapa perkara bagi merealisasikan impian tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Tenaga dan Air negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman (gambar) berkata, kerajaan negeri mendapatkan kerjasama Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk merangka program itu.

"Buat masa ini, kita masih dalam proses menyiapkan kertas kerja dengan dibantu seorang profesor dari UMT termasuk dalam mengenal pasti universiti dan kursus apa yang bersesuaian untuk pelajar kita ikuti.

"Sebaik kertas cadangan tersebut siap dan diperhalusi, program itu akan dibentangkan kepada kerajaan negeri sebelum dilaksanakan kelak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Astronomi PSKT di Pusat Dagangan Terengganu, kelmarin.

"Kita akan mengambil pelajar cemerlang yang hafaz 30 juzuk al-Quran daripada Sekolah Imtiaz untuk merealisasikan program Saintis Islamik bagi melahirkan golongan Saintis Islam bertaraf dunia di kalangan anak Terengganu.

"Buat permulaan, kita sasarkan untuk menghantar tiga pelajar terbaik setiap tahun dan bercadang menjadikan pelajar yang menduduki SPM tahun ini sebagai perintis kepada program ini,” ujarnya.

Katanya, para pelajar yang terpilih akan dihantar menyambung pengajian di salah sebuah universiti daripada sepuluh buah universiti terbaik dunia di bawah tajaan biasiswa Yayasan Terengganu.
 





Zulkifli lancar "Setiu Cycling Gangz"

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

Zulkifli ketika berucap di Rhu 10, semalam.
SETIU: Peserta program Kayuhan Sihat sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke 56 anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) disaran supaya terus melakukan aktiviti berbasikal dan tidak hanya berbasikal ketika menyertai program semata-mata.

Ahli Parlimen Setiu Che Mohd Zulkifli Jusoh, berkata aktiviti berbasikal banyak memberi manfaat kepada kesihatan kerana ia adalah amalan hidup sihat dan perlu dilakukan secara berterusan.

“Program sebegini adalah satu program yang baik tetapi jangan setakat ketika ada program sahaja dan kalau boleh ianya hendaklah dilakukan berterusan kerana berbasikal ini amat baik untuk kesihatan.,” katanya ketika merasmikan program itu di peringkat daerah Setiu di Pantai Ru 10, Penarik, di sini, semalam.

Zulkifli berkata, menjaga atau memelihara kesihatan itu adalah tanggungjawab bersama seiring dengan visi Kementerian kesihatan iaitu ‘A Nation Working Together For Better Health”. “Sebagai Ahli Parlimen, saya sentiasa menyokong segala usaha yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi menganjurkan program seperti ini.

 Saya yakin hanya melalui rakyat yang sihat dan cergas negara ini mampu menjadi sebuah negara maju 2020 nanti,” katanya.

Menurutnya, akibat perubahan hidup, masyakat kini kurang aktif kerana mereka tidak lagi berjalan kaki atau berbasikal tetapi sebaliknya kini ada pelbagai jenis pelbagai pengangkutan moden.

“Amat membimbangkan kita sekarang ialah “trend” kanak-kanak sekarang yang lebih mengemari permainan elektronik yang hanya mengunakan jari-jemari dan menyebabkan mereka menjadi tidak aktif dan ini akan memburukan lagi generasi pewaris negara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan lebih banyak agensi kerajaan dan swasta menganjurkan aktiviti sihat sebagaimana yang dilakukan oleh Jabatan Kesihatan itu yang banyak memberi manfaat kepada seluruh masyarakat.

Zulkifli (kiri) dan peserta mengaminkan doa sebelum kayuhan.
Sementara itu, seramai 120 peserta menyertai kayuhan dari Kemaman ke Besut itu yang terdiri daripada kakitangan Jabatan Kesihatan semua daerah beberapa agensi luar antaranya ialah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPM).

Zulkifli juga turut melancarkan kelab berbasikal Daerah Setiu yang digelar “Setiu Cycling Gangz”. Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Mohd Jusoh, Timbalan Pengarah Kesihatan (Perubatan), Mohammad Omar dan Pegawai Kesihatan Daerah, Dr. Rohayaty Muda.


18 September 2013

Serah kes FB palsu untuk tindakan lanjut polis : MB

Oleh: Aida Abd Rahman dan Suriati Ali

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said kesal dengan sikap segelintir pengguna media sosial khususnya Facebook (FB) yang hilang pertimbangan apabila menyalahgunakan kecanggihan Teknologi Maklumat (IT) untuk tujuan tidak baik dan memfitnah orang lain.

 “Mereka jangan lupa dengan kecanggihan teknologi dan mereka merasakan mereka pandai, mereka klon FB orang lain, tetapi pihak kerajaan (pihak berkuasa) mempunyai mekanisme untuk mengesan mereka yang terlibat,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu pemalsuan akaun FB dengan menggunakan nama dan gambar beliau serta mengeluarkan pelbagai paparan yang berniat jahat, sejak akhir-akhir ini.

Katanya, pihaknya menyerahkan perkara itu untuk siasatan lanjut polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta sudah mempunyai beberapa petunjuk awal mengenai mereka yang bertanggungjawab.

 “Kita serah kepada polis untuk menentukannya (siasatan) dan setakat ini kita mendapat petunjuk sahaja tetapi kita tidak boleh mendahuli polis dalam hal ini. Nampaknya polis dan SKMM sekarang ini sedang giat mengesan mereka yang terlibat.

 “Sebenarnya dia tidak `hacks’ Facebook saya, tetapi dia klon dan mengetahui itu bukan Facebook saya apabila dapat kesan gambar ada sedikit kelainan. malah semasa saya berada di China keluar (paparan) dalam Facebook saya menyatakan bahawa saya menawarkan diri untuk bertanding Naib Presiden Umno, sedangkan sejak dulu lagi saya memang tiada niat untuk bertanding.

 “Semasa menjadi Ketua Pemuda dulu pun saya tidak pernah bertanding, itu bukan sifat sayalah tidak suka untuk merebut jawatan (Umno) dan sebagainya,” katanya.

 Terdahulu, Pejabat Menteri Besar (MB) membuat laporan polis berhubung pemalsuan akaun Facebook  yang menggunakan nama dan gambar Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan masyarakat khususnya pengikut akaun media sosial itu sejak beberapa hari lalu.

Setiausaha Akhbar Kepada MB, Encik Rosli Zakaria, membuat laporan polis berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, kira-kira jam 10.15 pagi semalam. Encik Rosli berkata, pemalsuan akaun FB berkenaan lebih kepada tujuan penyamaran yang perlu ditangani dan disiasat segera oleh pihak berkuasa.




Kem gajah di Tasik Kenyir

Oleh: Suriati Ali dan Aida Abd Rahman

Terengganu terus memperhebatkan produk pelancongan sedia ada dengan mewujudkan kem gajah yang dibangunkan di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir dijangka siap akhir tahun ini.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata konsep itu diperkenalkan di Terengganu dengan mengambil contoh beberapa pusat penempatan dan pelancongan terkenal seperti di Chiang Mai,,Thailand dan Kuala Gandah (Pahang).

“Kita akan mewujudkan tiga komponen, satu (kawasan) gajah jinak yang boleh melukis, bermain bola dan mandi bersama gajah.

“Malah, di situ juga ada kawasan menyusuri hutan dan kita mengenal pasti lokasi air terjun..pengunjung menaiki gajah dan menyusuri bawah air terjun.

“Selain itu, terdapat sungai yang cantik yang boleh dijadikan kawasan perkelahan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Ahli-ahli Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Katanya, kesemua gajah ini akan membuat persembahan di depan pengunjung dan haiwan ini akan dilatih oleh jurulatih daripada Thailand. “Buat permulaan lapan ekor gajah akan dibawa ke kem itu, sebelum tambahan dua ekor lagi untuk menjadikan kesemuanya 10 ekor yang diagihkan ke tiga komponen utama itu. 

“Komponen kedua pula akan menempatkan gajah separuh liar yang dibiarkan bebas di kawasannya, sementara pengunjung boleh meninjau lokasi itu dengan menyusuri jambatan gantung.

“Fasa terakhir projek kem gajah berkenaan adalah kerja menyiapkan dua chalet (permulaan) atas pokok, di mana pengunjung yang mahu menginap di situ akan dibawa oleh gajah jinak ke pusat penginapan itu sebelum pengunjung perlu menggunakan tangga yang boleh dilipat untuk ke tempat penginapan mereka,” katanya.