Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said kesal dengan sikap segelintir pengguna media sosial khususnya Facebook (FB) yang hilang pertimbangan apabila menyalahgunakan kecanggihan Teknologi Maklumat (IT) untuk tujuan tidak baik dan memfitnah orang lain.
“Mereka jangan lupa dengan kecanggihan teknologi dan mereka merasakan mereka pandai, mereka klon FB orang lain, tetapi pihak kerajaan (pihak berkuasa) mempunyai mekanisme untuk mengesan mereka yang terlibat,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu pemalsuan akaun FB dengan menggunakan nama dan gambar beliau serta mengeluarkan pelbagai paparan yang berniat jahat, sejak akhir-akhir ini.
Katanya, pihaknya menyerahkan perkara itu untuk siasatan lanjut polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta sudah mempunyai beberapa petunjuk awal mengenai mereka yang bertanggungjawab.
“Kita serah kepada polis untuk menentukannya (siasatan) dan setakat ini kita mendapat petunjuk sahaja tetapi kita tidak boleh mendahuli polis dalam hal ini. Nampaknya polis dan SKMM sekarang ini sedang giat mengesan mereka yang terlibat.
“Sebenarnya dia tidak `hacks’ Facebook saya, tetapi dia klon dan mengetahui itu bukan Facebook saya apabila dapat kesan gambar ada sedikit kelainan. malah semasa saya berada di China keluar (paparan) dalam Facebook saya menyatakan bahawa saya menawarkan diri untuk bertanding Naib Presiden Umno, sedangkan sejak dulu lagi saya memang tiada niat untuk bertanding.
“Semasa menjadi Ketua Pemuda dulu pun saya tidak pernah bertanding, itu bukan sifat sayalah tidak suka untuk merebut jawatan (Umno) dan sebagainya,” katanya.
Terdahulu, Pejabat Menteri Besar (MB) membuat laporan polis berhubung pemalsuan akaun Facebook yang menggunakan nama dan gambar Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan masyarakat khususnya pengikut akaun media sosial itu sejak beberapa hari lalu.
Setiausaha Akhbar Kepada MB, Encik Rosli Zakaria, membuat laporan polis berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, kira-kira jam 10.15 pagi semalam. Encik Rosli berkata, pemalsuan akaun FB berkenaan lebih kepada tujuan penyamaran yang perlu ditangani dan disiasat segera oleh pihak berkuasa.