Halaman

16 September 2013

Kawasan tanaman padi terbesar di Lembah Setiu.

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

Sebahagian tanaman padi yang diusahakan penduduk Kampung Permaisuri
SETIU: Dengan keluasan tanah melebihi 4000 ekar dan diusahakan lebih 70 penduduk sekitar menjadikan kawasan sawah padi Kampung Permaisuri, di sini adalah kawasan tanaman padi yang terbesar di Lembah Setiu.

Tinjauan teganukita ke kawasan tanaman padi itu, semalam mendapati kebanyakan padi mula menguning dan ada diantaranya sudahpun dituai yang pastinya akan membuahkan pulangan hasil yang agak lumayan kepada setiap pengusahanya.

Mat Adam
Seorang pengusaha, Mat Adam Talib, 50 berkata, dia yang mengusahakan tanah itu sejak di bangku sekolah lagi kerana membantu ayahnya ketika itu kini menjadikan kerja menanam padi adalah sebagai pekerjaan tetapnya.

“Sudah lebih 30 tahun saya menanam padi di sini, daripada kaedah tradisional hinggalah kaedah moden sekarang ini. Dulu semua kena buat sendiri tapi sekarang semuanya mengunakan mesin, saya hanya menjaga batas sahaja dan melihat penyakit padi.

“Saya mengusahakannya kira-kira 20 ekar dan pendapatanya bolehlah untuk saya menyara anak dan isteri,” katanya.

Razali Che Muda, 50 pula, berkata dia yang mengusahakan tanah seluas enam ekar itu berterima kasih kepada kerajaan kerana mengeluarkan pelbagai bantuan untuk meringankan bebanan penduduk kampung mengusahakan tanah itu.

“Antara bantuan yang kami terima ialah baja, racun dan bantuan insentif pendapatan. Kami juga mendapat khidmat nasihat dari Jabatan Pertanian, Peladang dan Ketara,” katanya.