Halaman

18 September 2013

Projek hidro elektrik Hulu Terengganu beroperasi 2015

Oleh; Esah Abdullah

Projek Hidro elektrik Tenaga Nasional (TNB) Hulu Terengganu dijangka akan memulakan operasi sepenuhnya pada Oktober 2015.

Pengurus Besar TNB Terengganu, Ir Md Yuslan Mohd Yusof berkata, projek berkenaan berjalan lancar dan kini siap 50 peratus.

“Setakat ini kerja penyimpanan sungai sudah siap tanpa menghadapi sebarang masalah dan yakin ia dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan selepas pelaksanaannya dimulakan pada 2010,” katanya.

Katanya, projek pembinaan itu membabitkan dua fasa iaitu fasa pertama dengan pembinaan empangan, terowong air dan stesen jana kuasa elektrik bawah tanah.

“Manakala fasa akhir merangkumi kerja mereka bentuk, memasang serta menguji peralatan mekanikal dan elektrik,” katanya.

Menurutnya, empangan hidroelektrik kedua itu dibina di kawasan Sungai Tembat dan Sungai Puah, Hulu Terengganu dan mempunyai kapasiti 250 megawatt.

Tambahnya, ia sebahagian usaha brterusan syarikat untuk menyediakan kapasiti bagi memenuhi peningkatan permintaan elektrik, menambah baik jaminan sistem tenaga dan mengurangkan pelepasan karbon.