Halaman

16 September 2013

Fama sasar buka 1,000 pasar tani

Oleh; Esah Abdullah 

 Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) meletak sasaran untuk membuka 1,000 buah pasar tani di seluruh negara dalam tempoh 2014 hingga 2020.

Pengarah Kanan Pembangunan Usahawan Fama, Encik Ab Razak Ab Majib berkata, sehingga kini sebanyak 511 buah pasar tani sedang bero[perasi di seluruh negara, dan 19 daripadanya beroperasi di negeri ini.

Encik Ab Razak Ab Majib
“Kita jangkakan sasaran 1,000 buah dalam tempoh enam tahun itu dapat dicapai dan 30 buah pasar tani akan dibangunkan sebelum akhir tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media semasa hadir pada Program Sambutan & Seranta Sempena Bulan Kemerdekaan ke- 56 tahun peringkat negeri Terengganu 2013 di Pasar Tani Mega Padang Hiliran, Kuala Terengganu.

Menurutnya, Fama juga bercadang wujudkan dua lagi pasar tani di negeri Terengganu iaitu di Bandar Baru Cheneh, Kemaman pada Oktober, dan di Kampung Pagar Besi, Batu Rakit pada November depan.

Menurutnya, pasar tani tidak semestinya beroperasi pada waktu pagi sebaliknya ia juga boleh dibuka pada waktu petang mengikut kesesuaian seperti mana yang beroperasi di Pasar Tani di Putrajaya yang mendapat sambutan baik dari kalangan pengguna.

“Fama berhasrat membuka lebih banyak pasar tani terutama di kawasan perumahan bagi memberi kemudahan kepada pengguna,” katanya.

Selain itu, Fama juga mensasarkan hasil jualan RM1.5 bilion bagi tahun 2013 dan sehingga Julai telah berjaya mencapai RM700 juta.