Penggiat seni di seluruh Marang diharap menjadi penggerak kepada transformasi minda, membangunkan ideologi, interaksi dan kebudayaan masyarakat bagi memastikan daerah itu tidak ketinggalan berbanding kawasan lain di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian & Pengurusan Prestasi dan Teknologi Maklumat negeri, YB A Latiff Awang, berkata golongan itu mampu menjadi ejen yang boleh mengubah minda masyarakat supaya lebih berdaya saing dan tidak hanya berada di takuk lama.
“Sebagai Exco tunggal dari Bahagian Marang, saya rasa bertanggungjawab untuk mengajak dan menggerakkan usaha bagi memastikan masyarakat di Marang berintegriti dan menjalani transformasikan minda dari segi pemikiran dan juga hala tuju yang lebih jelas.
“Saya percaya semua usaha itu boleh dilaksanakan bukan sahaja melalui kegiatan kesenian dan kebudayaan, malah penggemblengan tenaga serta sumber yang ada oleh semua pihak termasuk belia, wanita, imam dan bilal,” katanya di Program Merakyatkan Seni Budaya Malam Kesenian Daerah Marang, di Dewan Utama Majlis Daerah Marang, Kampung Paya Marang, kelmarin.
Majlis anjuran Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Daerah Marang dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Terengganu turut dihadiri penggiat seni di seluruh Marang.
YB A Latiff berkata, sebagai wakil kerajaan beliau akan berkongsi pandangan dan perancangan lebih jitu dengan semua pihak sama ada agensi kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang berkaitan untuk membincangkan hala tuju pembangunan Marang yang lebih mapan dan jelas.
Katanya, semua pihak harus meningkatkan perpaduan, duduk semeja dan mengelakkan perselisihan demi manfaat bersama serta kemajuan Marang dari pelbagai aspek khususnya sosial, modal insan, kemahiran dan kebolehan masyarakat di daerah itu.
“Kita berhasrat untuk melihat Marang membangun dari aspek fizikal dan ekonomi dengan lebih menyeluruh lagi.
“ Pada masa yang sama kita perlu menjana dan memajukan sumber yang ada sebaik mungkin kerana kita tidak mahu lagi Marang berada terkebelakang,” katanya.