Halaman

17 September 2013

Sederhana dalam berbelanja

Oleh; Esah Abdullah 

Rasulullah SAW bersabda “Allah memberikan rahmat kepada seseorang yang berusaha mencari harta dengan jalan yang halal dan membelanjakannya dengan cara sederhana, berhemat dan menabung kelebihannya untuk hari susah serta hajatnya.” (Rirawat al-Ibn an-Najjar).

Pengawalan terhadap keinginan dan desakan hati adalah perlu sebagai satu cara untuk mengawal nafsu boros. Rezeki dan kemewahan hidup semuanya datang daripada Allah SWT.

Oleh itu, sikap berlumba-lumba mengumpul harta dan kemewahan harus dielakkan kerana ia menunjukkan sikap rakus serta boleh memberi risiko tidak baik dalam perhubungan hingga menyebabkan berlakunya permusuhan sesama sendiri.

Cara membelanjakan harta menentukan hidup seseorang itu berkat atau tidak, yang mana kehidupan tidak akan menjadi tenang jika harta disalurkan atau digunakan pada perkara haram dan tidak halal.

Bersederhana dalam berbelanja bermaksud seseorang itu apabila berbelanja dia tidak berlebih-kebihan dan tidak pula kedekut, tetapi berada di tengah-tengah antara dua keadaan itu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan juga mereka yang diredai Allah itu ialah yang apabila menafkahkan hartanya dia tidak melampau batas dan tidak bakhil. Sebaliknya perbelanjaan mereka adalah benar-benar sederhana antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.” (Surah al-Furqan, ayat 67).

Rasulullah SAW bersabda: “Sekiranya anak Adam memiliki satu lembah daripada harta, nescaya ia mahu yang kedua dan sekiranya ia mempunyai dua lembah nescaya ia mahu yang ketiga. Tidak akan memenuhi perut anak Adam melainkan tanah dan Allah sentiasa menerima taubat orang yang bertaubat.” (Riwayat Ahmad).

Umat Islam dituntut sentiasa bersyukur kepada Allah kerana dengan bersyukur hati kita akan tenang dan reda di samping mempercayai bahawa rezeki itu terletak di tangan Tuhan. Kita wajib berusaha sedangkan yang menentukan adalah Allah SWT.

Apabila diberi Allah SWT rezeki berlebihan, jangan pula kita bersifat boros sebaliknya sentiasa memastikan setiap harta dibelanjakan ke jalan yang diredai Allah SWT.