Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri YB Ghazali Taib berkata penubuhan Dana Pendidikan Mara berjumlah RM1 bilion diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini memberi manfaat besar kepada golongan belia di negara ini.
Antara lain katanya, dana berkenaan bagi membiayai keperluan program latihan, pendidikan, keusahawanan, penyelidikan dan pembangunan serta inovasi.
YB Ghazali Taib |
Menurutnya, 90 peratus mereka yang mendalami bidang kemahiran, mendapat peluang pekerjaan lebih cerah berbanding mereka yang mempunyai bidang akademik semata-mata.
“Golongan ini juga mampu mendapat pendapatan lumayan dalam bidang pembinaan, teknikal, telekomunikasi dan pelbagai lagi,” katanya
Katanya, peruntukan tambahan yang diberikan kepada GiatMara bagi memperoleh peralatan berteknologi terkini untuk mengendalikan program latihan serta pertambahan program latihan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) mampu membuka ruang lebih luas kepada golongan belia.
Tambahnya, melalui dana tersebut juga dapat mempergiatkan lagi program latihan bagi mengatasi masalah kebolehpasaran, bersesuaian dengan keperluan industri terutama untuk golongan graduan Bumiputera menganggur.