Sabri ketika berucap merasmikan mesyuarat PPNT |
SETIU: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan sentiasa membantu petani, nelayan dan penternak bagi mengatasi masalah orang tengah dengan mewujudkan rantaian perniagaan sendiri supaya mereka dapat menikmati pendapatan yang lebih baik.
Menterinya, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob, berkata dengan adanya rantaian-rantaian itu kewujudan orang-orang tengah dapat dihapuskan kerana semuanya dilakukan pihak yang terbabit dengan nelayan, petani dan penternak itu sendiri.
“Pertama kita akan adakan pemasaran terus supaya kita nak mengurangkan tingkat-tingkat tadi ,kalau dua tiga empat lapis baru sampai kepada pembeli, kita akan potong tingkat-tingkat itu kerana itulah kita membina pasar-pasar nelayan di kawasan pendaratan ikan untuk membantu nelayan.
Sabri (tegah) berjalan menuju dewan mesyuarat |
Kerana itulah, katanya, beliau mengarahkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) supaya membantu menjual ikan-ikan yang tidak dijual. Dan agensi-agensi kerajaan bersama Persatuan Nelayan mesti menguasai segala rantaian itu.
“Air batu beli dikedai-kedai persatuan nelayan, bot yang rosak hantar membaikinya di kedai kepunyaan persatuan nelayan, mekanik juga anak-anak nelayan, kita akan bantu dan latih mereka untuk menjadi mekanik. Tidak cukup duit kita akan beri bantuan modal untuk membeli peralatan membaiki.
“Kalau macam ini barulah kita tidak bergantung dengan orang lain, cukuplah kita bergantung dengan orang lain ni, semua kita bergantung dengan orang lain. Saya mengarahkan FAMA bersama persatuan nelayan mewujudkankan agro bazaar, kedai runcit di setiap kawasan nelayan, kalau tak ada duit kita akan bantu untuk mewujudkan kedai itu.
“Biar kita sendiri punya, barulah kita dapat pulang balik hak kita tu, bukan orang lain punya, kalau orang lain punya silap-silap kita akan hutang dengan dia,” katanya.
Sabri berkata, rantaian itu akan diwujudkan kepada semua termasuklah penanam padi supaya setiap petani, penternak dan nelayan akan menikmati kehidupan yang lebih baik dan ianya akan mengurangkan peranan orang tengah yang sudah lama mengaut keuntungan hasil penat lelah petani, penternak dan nelayan.
Turut hadir ialah Exco Industri Asas Tani dan Perusahaan, Perladangan, Komoditi Negeri, Nawi Mohammad, Exco Penerangan ,Komunikasi dan Kebudayaan Negeri Terengganu, Dato' Mohd Jidin Shafee, Ahli Parlimen Setiu, Che Zulkifly Jusoh dan Dato' Zainal Dahlan, Pengerusi LPP Malaysia.
Sebahagian ahli yang hadir mesyuarat. |