Halaman

23 October 2013

80 Pengerusi JKKK Daerah Besut sertai kursus transformasi


Pegawai Daerah Besut,A Rahim Jusoh menyampaikan sijil kepada peserta kursus

Oleh: Mohammad Ishak 

Tugas dan tanggungjawab Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu ditingkatkan selaras dengan usaha kerajaan memantapkan lagi organisasi berkenaan sebagai jentera akar umbi kerajaan.

Sehubungan itu, Pejabat Daerah Besut (PDB) mengambil daya usaha menganjurkan Kursus Transformasi kepada pengerusi JKKK daerah berkenaan.

Kursus dua hari yang berlangsung di sebuah hotel di Melaka itu disertai oleh 80 pengerusi yang terpilih oleh penghulu mukim masing-masing.

Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh, merasmikan kursus berkenaan dan menyampaikan sijil kepada peserta terbabit.

Ketika berucap pada majlis itu A Rahim berharap, pengerusi JKKK sebagai pemimpin utama di kampung perlu menambah ilmu dengan banyak membaca dan bergaul bagi mengetahui isu-isu semasa yang berlaku dalam dan luar negara.

Katanya, pengerusi JKKK juga hendaklah prihatin terhadap masalah orang kampung terutama mereka yang memerlukan khidmat dan bantuan kerajaan.

Pada kursus berkenaan peserta dibahagikan kepada empat kumpulan dan mengadakan sesi perbekelan yang mengenal pasti masalah dihadapi oleh JKKK untuk diambil tindakan oleh Kerajaan Negeri.

Ketetapan yang diadakan pada kursus berkenaan akan dibawa oleh urusetia kursus kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri untuk meneliti pelbagai aspek cadangan dan rumusan peserta berkenaan.     
Peserta berbincang menyelesaikan isu berbangkit

Ahli Umno perlu muhasabah diri – Ahmad Said

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh Zulkipli Putra

Dato' Seri Haji Ahmad
Ahli Umno di seluruh negeri perlu muhasabah diri masing-masing dan kembali ke pangkal jalan jika mereka melakukan perbuatan khianat atau mensabotaj parti pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) kekal berkuasa di Terengganu dengan majoriti mudah.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata ramai ahli dan pemimpin Umno yang didapati melakukan perbuatan sabotaj yang menafikan kemenangan calon-calon BN pada pilihan raya tersebut.

Bagaimanapun, katanya, sebahagian ahli yang berbuat demikian terlepas daripada sebarang hukuman parti kerana mungkin tindakan mereka tidak disedari atau kekurangan bukti bagi mensabitkan kesalahan.

“Saya harap mereka yang terlibat dengan sebarang perbuatan khianat terhadap parti supaya muhasabah diri dan kembali ke pangkal jalan.

 “Marilah kita sama-sama berusaha menguatkan parti dan bekerja gigih bersama-sama dengan pimpinan baru cawangan dan bahagian masing-masing untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14,” kata Dato’ Seri Haji Ahmad yang juga Menteri Besar ketika ditemui di Kemaman, kelmarin.

Pada PRU13 BN hanya menang 17 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu dan membentuk kerajaaan dengan majoriti mudah. Pilihan raya itu juga menyaksikan BN ‘hilang’ lima kerusi Parlimen apabila calon-calonnya dikalahkan calon pembangkang.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, pihaknya memberi kepercayaan kepada kepimpinan baru Umno di semua peringkat, termasuk sayap-sayap parti bagi memulihkan kekuatan Umno bagi menarik sokongan rakyat.

“Badan Perhubungan Umno negeri sedia membantu dalam semua aspek keperluan bagi merangka program-program untuk menguatkan parti,” ujar beliau.

 

22 October 2013

Tiada jurang pemimpin, pengikut- Iskandar.

Oleh: Aminudin Ismail

Iskandar..elakan jurang.
SETIU: Ketua Pemuda UMNO Bahagian Setiu yang juga Exco Pemuda UMNO Malaysia, YB Mohd Iskandar Jaafar mahu semua pemimpin Pemuda peringkat bahagian dan cawangan di bahagian ini supaya tidak mewujudkan jurang antara pemimpin dan ahli-ahlinya.

Katanya, Pemuda di peringkat akar umbi perlu diberi penerangan bahawa ketika ini sudah tiada jurang lagi antara pemimpin dan pengikut.

"Apabila wujudnya jurang antara pemimpin dan pengikut (ahli)mereka tidak akan rasa selesa dengan kepimpinan dan ini menyebabkan mereka akan menjauhkan diri dengan kepemimpinan.

"Oleh itu setiap pemimpin Pemuda termasuk diri saya yang memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO Setiu tidak boleh dilihat eksklusif dengan kedudukan mereka, sedangkan yang di bawah akan tertinggal," katanya. 

Justeru itu, katanya, pemimpin perlu sentiasa turun ke bawah untuk bersama-sama ahli berganding bahu bekerja bersama-sama sama ada untuk menyelesaikan masalah golongan muda ataupun untuk menjayakan parti.

Dalam pada itu, Iskandar mengingatkan kepada golongan muda yang tinggal di bandar tetapi berasal dari kampung supaya faham apa yang dilakukan kerajaan untuk ibu bapa mereka di kampung yang juga memberi manfaat kepada mereka.

"Golongan pemuda ini haruslah menilai apa yang disumbangkan kerajaan itu untuk kesejahteraan kehidupan ibubapa mereka di kampung dan dengan ini,saya rasa, barulah mereka faham bahawa kerajaan Barisan Nasional ini banyak membantu kearah kesejahteraan hidup mereka," katanya.


260 peserta sertai program tinjuan aspirasi masyarakat untuk kajian semula PSPTN di UMT

Oleh: Noraini Jusoh, Mohd Hafizuddin Mat Tahar, Mohd Syazni Zainudin (pelatih) 

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menganjurkan Program Tinjauan Aspirasi Masyarakat Untuk Kajian Semula Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) di Auditorium Mahayuddin, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi UMT, hari ini.

Seramai 260 peserta yang terdiri daripada kakitangan akademik UMT, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), MRSM Wakaf Tengah serta Intitut Pengajian Tinggi Kampus Dato’ Razali Ismail menyertai program yangdikendalikan dua moderator sebagai pengantara dalam memberi penerangan dan mendapatkan maklum balas mengenai sistem pengajian tinggi negara.

Moderator program, Prof. Dr. Harshita Aini Haroon dari Universiti Malaysia Perlis berkata, program tinjauan aspirasi masyarakat itu bertujuan menilai semula dan menyemak PSPTN setelah genap enam tahun dilancar Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kajian semula PSPTN bertujuan menambahbaik dan menyusun inisiatif baharu yang berimpak tinggi mengikut keperluan semasa dan akan datang, keberhasilan yang lebih jelas dan berupaya dilaksanakan secara bijaksana sehingga mampu melonjak lagi pengajian tinggi negara ke tahap kegemilangan.

“Hasil kajian diharap dapat menghasilkan pelan strategik yang mampu menjana arus transformasi yang lebih besar untuk negara yang mana ia benar-benar dapat melonjakkan kualiti modal insan dan meletakan negara sebagai hab kecemerlangan pendidikan dengan jenama yang tersendiri,” ujarnya dalam ucapan aluan sempena program tersebut.

Katanya, PSPTN dirangka dengan menggariskan tujuh tersa utama iaitu, meluaskan akses dan meningkatkan ekuiti, menambahbaik kualiti pengajaran dan pembelajaran, memperteguh penyelidikan dan inovasi, memperkasa institusi pengajian tinggi, mempergiat pengantarabangsaan, membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dan mengukuh sistem penyampaian kementerian.



Umno Marang mahu tarik sokongan rakyat pada BN

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Amirullah Othman
Gambar oleh Zulkipli Putra

YB A Latiff
Ketua Umno Bahagian Marang, YB. A. Latiff Awang beriltizam untuk memulihkan semula kekuatan Umno bahagian itu serta menarik sokongan penduduk tempatan terhadap parti itu dan Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu, beliau yang diberi tanggungjawab menerajui bahagian itu pada pemilihan baru-baru ini mengharapkan sokongan semua pihak, terutama sayap-sayap parti dan bekas pemimpin bahagian bagi merealisasikan hasrat untuk ‘menawan’ semula kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pembangkang pada pilihan raya umum lalu.

Pada pemilihan itu, YB A Latiff yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, dipilih sebagai ketua bahagian selepas mengalahkan tiga calon lain, termasuk penyandang jawatan, Dato’ Yahya Khatib Mohamad.

Beliau yakin dengan kerjasama jawatankuasa bahagian dan pemimpin sayap parti, usaha menyatukan pemimpin dan ahli Umno di bahagian berkenaan selepas ini menjadi lebih mudah.

 “Bila Umno bersatu semula, kita akan adakan program-program bagi menarik sokongan rakyat kepada Umno dan BN,” katanya kepada Teganukita hari ini ini.

YB A Latiff menyifatkan pemilihan beliau sebagai ketua bahagian satu amanah besar bukan saja daripada perwakilan bahagian itu, tetapi juga daripada pucuk pimpinan parti yang mahu melihat perubahan besar di Parlimen berkenaan.

 “Kepimpinan baru bahagian ini bertanggungjawab menarik sokongan rakyat kepada Umno dan BN, seterusnya memastikan pertambahan kerusi BN di Parlimen ini pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang lalu hanya DUN Pengkalan Berangan yang diwakili YB A Latiff sahaja dimenangi BN.

Beliau yang juga Pengerusi jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian dan Pengurusan Prestasi dan Teknologi Maklumat bertekad mengekalkan kerusi DUN Pengkalan Berangan dan mengembalikan tiga kerusi DUN lagi kepada BN pada PRU14.

 

PPNT anjur seminar pelancongan selama dua hari

Oleh: Noraini Jusoh

Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT) akan menganjurkan Seminar Pelancongan Antarabangsa Eko Marin dan Pelancongan 2013 (TEMCO 2013) pada 18 hingga 19 November ini.

Penganjuran seminar oleh PPNT dengan kerjasama kerajaan negeri dan Kementerian Pelancongan Malaysia akan diadakan di Primula Beach Hotel selama dua hari.

Pengerusi TEMCO 2013, Encik Alex Lee Yun Ping, berkata, seminar yang memasuki edisi keempat diadakan memberi tumpuan terhadap usaha memartabatkan sektor pelancongan di negeri ini khususnya dan membincangkan idea-idea praktikal serta mencari penyelesaian yang memberi inspirasi kepada perubahan positif dalam sektor Eko & Pelancongan Marin.

“Seminar ini terbuka kepada individu yang berkait rapat dengan sektor pelancongan seperti pengusaha-pengusaha produk pelancongan serta wakil dari kerajaan negeri dan juga orang awam yang berminat,” ujarnya.

 Katanya, pelbagai topik menarik yang bakal dibincangkan sepanjang seminar ini berlangsung, termasuk potensi pembangunan pulau di Terengganu, pembentangan kertas kerja oleh penyelidik universiti serta perbincangan meja bulat kalangan usahawan eko-pelancongan di negeri ini.

“Selain memberi pemahaman berkaitan pelancongan lestari kepada masyarakat, penganjuran seminar sebegini juga dapat menggalakkan mereka melibatkan diri dalam sektor Eko & Pelancongan Marin seperti menyediakan homestay, kampungstay serta menceburi bidang penyewaan bot pelancongan untuk snorkeling, menyelam dan belayar.

 “Selain itu, ianya juga bertujuan untuk mencadangkan peningkatan dan penambahbaikan dalam sektor Eko & Pelancongan Marin tanpa mengganggu ekosistem dan alam sekitar di Terengganu,” ujar beliau.

 

Dato’ Ahmad Razif anggap kemenangan, kejayaan bersama

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra

Dato' Ahmad Razif
Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman menganggap kemenangan yang diperoleh sebagai kejayaan bersama untuk meneruskan kesinambungan kejayaan dalam pelbagai perkara termasuk berkaitan pendidikan, pembangunan dan kebajikan.

 Dalam persangitan sengit empat penjuru itu, Dato’ Ahmad Razif berjaya memperoleh 331 undi, sekali gus menewaskan tiga calon lain termasuk penyandang sebelum ini, Dato’ Ibrahim Fikri selain Dato’ Rahin Mohd Said dan Shapian Ali.

 Katanya, kepercayaan diberikan perwakilan sangat dihargai dan akan memikul tanggungjawan itu sebaik mungkin untuk melaksanakan amanah yang belum selesai.

“Pada masa sama, sebagai langkah baru untuk merapatkan kembali hubungan yang agak renggang antara calon yang tidak terpilih berikutan persaingan dalam pemilihan kali ini.

 “Saya dan barisan kepimpinan baru ini akan mengadakan pertemuan dengan mereka bagi memastikan mereka tidak lari daripada hubungan dan ikatan yang sudah lama terjalin,” katanya.

 Katanya, idea dan pengalaman kempimpinan lalu cukup berguna untuk terus memajukan Kuala Nerus setanding dengan kawasan yang sudah membangun.

 “Pelbagai perancangan bakal dilaksanakan semata-mata untuk kepentingan rakat di kawasan ini yang sememangnya mahukan perubahan sama ada daripada segi aspel pendidikan, pembangunan dan kebajikan.

 “Agenda paling penting adalah untuk mengembalikan kepercayaan rakyat selepas Barisan Nasional (BN) Kuala Nerus kalah teruk pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke 13 lalu, sekaligus merampas semula semua kerusi yang ditakluki pembangkang,” katanya.

 

Empat pulih tiga kampung terpilih untuk dihakimi pertandingan kebersihan

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri giat mengatur pelbagai inisiatif untuk memastikan kesedaran sivik menjaga kebersihan dan memulihara persekitaran di kalangan komuniti sentiasa meningkat termasuk menganjurkan pertandingan kebersihan di semua peringkat dan agensi.

Kerajaan negeri memperuntukkan RM1.3 juta menjayakan Pertandingan Kebersihan dan Keindahan Kampung peringkat negeri 2013/2014.
Terbaru, sebanyak RM1.3 juta diperuntukkan bagi menjayakan program Pertandingan Kebersihan dan Keindahan Kampung Peringkat Negeri Terengganu 2013/2014.

Menteri Besar, Dato’ Seri haji Ahmad Said,berkata program itu merupakan satu acara induk dalam Program Kebersihan Negeri yang membabitkan semua Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) di seluruh Terengganu, pejabat daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan.

“Program ini bermula dari penghakiman di setiap daerah dan diakhiri dengan penialian di peringkat negeri pada Mac lalu oleh panel hakim yang dilantik dari pelbagai jabatan teknikal yang berkaitan.

 “Daripada kira-kira 900 kampung, 43 daripadanya di seluruh daerah berjaya terpilih bagi dihakimi di peringkat negeri yang terbahagi kepada dua kategori utama, Kategori Dalam Kawasan Operasi dan Kategori Luar Kawasan Operasi,” katanya ketika berucap di Majlis Pertandingan Kebersihan dan Keindahan Kampung Peringkat Negeri Terengganu 2013/2014, di Kampung Banggol Pak Ali, Alor Limbat, Marang, semalam.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, YB Haji Mohd Zubir Embong; Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian, Pengurusan Prestasi dan Teknologi Maklumat negeri, YB A Latiff Awang dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib.

Menteri Besar berkata, sambutan daripada peserta pertandingan khususnya JKKK amat memberangsangkan untuk merealisasikan hasrat menjadikan kampung bersih, indah, cantik dan menarik.

Selain tempat pertama hingga ketiga bagi kedua-dua kategori berkenaan, pihaknya juga menyediakan hadiah kepada pemenang bagi kategori plain termasuk Kebersihan Persekitaran Kebersihan Infrastruktur, Keceriaan Lanskap, Kawalan Haiwan dan Vektor, Ekonomi, Kepimpinan dan Kerohanian dan Sivik.

“Menerusi pertandingan ini, kita berharap penduduk kampung lebih peka dan berusaha untuk memperindahkan dan mencantikkan kampung masing-masing supaya dapat mengetengahkan kelebihan yang ada itu untuk meraih kemenangan.

 “Pada masa yang sama, mereka juga perlu mengetengahkan produk di kampung masing-masing supaya bukan sahaja menarik pelancong ke tempat mereka, malah meningkatkan ekonomi penduduk setempat,” katanya.

 

Muafakat resipi kejayaan penduduk Kampung Banggol Pak Ali

Ahli Jawantankuasa Kampung Banggol Pak Ali bersama Menteri Besar selepas kampung itu dipilih johan Pertandingan Kebersihan & Kedindahan Kampung peringkat negeri.
Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Hasil muafakat dan kerjasama berterusan penduduk Kampung Banggol Pak Ali, Alor Limbat bergotong-royong mengindahkan kampung sejak tiga tahun lalu memberi kelebihan untuk muncul johan Pertandingan Kebersihan dan Keindahan Kampung peringkat negeri bagi tahun ini.

Dewan Sri Pahlawan mercu tanda Kampung Banggol Pak Ali.
Kemenangan kampung yang dihuni 500 penduduk untuk kategori Luar Kawasan Operasi itu melayakkan mereka menggondol hadiah wang tunai RM25,000 serta projek pembangunan RM250,000.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) itu, Encik Mohd Yassin Awang , 57, berkata kemenangan pertama kali kampung berkenaan memberi suntikan semangat kepada komuniti setempat untuk terus memastikan persekitaran mereka lebih terjaga dan menarik.


“Setiap Jumaat sejak dua tiga tahun lepas kita mengamalkan bergotong-royong membersihkan kampung dan hanya tidak melakukan aktiviti itu jika ada majlis kenduri kendara.

“Setiap kali bergotong- royong, 100 hingga 150 penduduk keluar membantu. Saya cukup berbangga dengan kerjasama dan bantuan ramai termasuk golongan muda dan wanita,” katanya.

Menurutnya, terdapat industri kecil pembuatan perabot dan nurseri yang diusahakan anak kampung turut memajukan ekonomi setempat serta memberi peluang pekerjaan kepada penduduk khususnya golongan muda.

Katanya, pihaknya turut merancang membuka ternakan ikan air tawar dengan bantuan dan bimbingan seorang usahawan tempatan sebagai platform mempelbagaikan sumber pendapatan penduduk, tidak lama lagi.

Sementara itu, bagi kategori Dalam kawasan Operasi pula, dimenangi Kampung Medan Jaya, Marang sekaligus membawa pulang RM25,000 serta RM250,000 bagi projek pembangunan.

Tengku Sulaiman

Pengerusi JKKK kampung itu, Tengku Sulaiman Tengku Halim, 56, berkata, sejak 2007 kampung itu sering menyertai pertandingan kebersihan dan keindahan kampung serta memenangi pelbagai hadiah termasuk naib johan Anugerah Desa Cemerlang (ADC) dan kebersihan kampung peringkat negeri sebelum ini.

 “Dengan bantuan projek itu, kami berhasrat untuk meluaskan perkhidmatan rumah rehat atau chalet yang diwujudkan di kampung kami dibina hasil sumbangan kerajaan negeri berjumlah RM50,000 selepas memenangi naib johan ADC yang lalu.

“Kami mahu menambah pendapatan kira-kira 700 penduduk kampung di bawah satu koperasi dan juga pulangan kepada tabung JKKK,“ katanya.

Sementara itu, tempat kedua dan ketiga bagi kategori Luar Kawasan Operasi masing-masing dimenanagi Kampung Lingai, Kuala Terengganu dan Kampung Tok Dor, Hulu Terengganu.

Bagi kategori Dalam Kawasan Operasi pula, Kampung Padang Jambu, Dungun dan Kampung Che Kundur, Kuala Terengganu, masing-masing muncul pemenang kedua dan ketiga.

Pemenang tempat kedua membawa pulang RM15,000 dan bantuan projek pembangunan RM150,000, manakala ketiga memperolehi wang tunai RM10,000 beserta RM100,000 (projek pembangunan).

Hadiah kemenangan disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, di Kampung Banggol Pak Ali, semalam.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, YB Haji Mohd Zubir Embong.


 

Terengganu sedia 437 pusat pemindahan, 118 pengkalan hadapan hadapi musim banjir

Dato' Seri Haji Ahmad Said
Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu (JKM) menyediakan 437 pusat pemindahan yang berupaya menampung seramai 63,172 mangsa banjir sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh tidak lama lagi.

Daripada keseluruhan jumlah itu, Kuala Terengganu (47), Kemaman (57), Dungun (52), Besut (141), Hulu Terengganu (81), Marang (24) dan Setiu menyediakan 35 pusat pemindahan.

Menteri Besar disambut penduduk sebaik tiba di Kampung Banggol Pak Ali.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata JKM juga mengenalpasti 118 buah pengkalan hadapan di seluruh Terengganu bagi menempatkan bekalan di tempat strategik supaya kawasan kejadian bencana tidak terputus bekalan.

“Inisiatif itu juga supaya bekalan apa dihantar dengan cepat kepada mangsa bencana yang memerlukan.

 “Selain itu, kita juga sentiasa bersiap-sedia pada bila-bila masa bagi menghadapi musim banjir dengan memberi tumpuan kepada kawasan yang berisko berlaku bencana itu di seluruh Terengganu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan kebersihan dan keindahan kampung peringkat negeri, di Kampung Banggol Pak Ali, Alor Limbat, Marang, semalam.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan undangan Negeri, YB Haji Mohd Zubir Embong. Menteri Besar berkata, semua pihak dan agensi yang terlibat dengan persiapan berdepan musim banjir sudah bersiap sedia sepenuhnya meliputi bekalan makanan, logistik, kenderaan serta kekuatan anggota serta petugas di barisan hadapan dan sokongan.

 “Saya juga menggesa semua piak dala pengurussan bencana negeri Terengganu yang terdiri daripada pelbagai jabatan, agensi kerajaan, pertubuhan sukarela , badan bukan kerajaan serta pemimpin dan komuniti setempat perlu memperkemaskan lagi jentera pengurusan bencana supaya lebih proaktif dan responsive pada setiap masa,”katanya.