Halaman

22 October 2013

Muafakat resipi kejayaan penduduk Kampung Banggol Pak Ali

Ahli Jawantankuasa Kampung Banggol Pak Ali bersama Menteri Besar selepas kampung itu dipilih johan Pertandingan Kebersihan & Kedindahan Kampung peringkat negeri.
Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Hasil muafakat dan kerjasama berterusan penduduk Kampung Banggol Pak Ali, Alor Limbat bergotong-royong mengindahkan kampung sejak tiga tahun lalu memberi kelebihan untuk muncul johan Pertandingan Kebersihan dan Keindahan Kampung peringkat negeri bagi tahun ini.

Dewan Sri Pahlawan mercu tanda Kampung Banggol Pak Ali.
Kemenangan kampung yang dihuni 500 penduduk untuk kategori Luar Kawasan Operasi itu melayakkan mereka menggondol hadiah wang tunai RM25,000 serta projek pembangunan RM250,000.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) itu, Encik Mohd Yassin Awang , 57, berkata kemenangan pertama kali kampung berkenaan memberi suntikan semangat kepada komuniti setempat untuk terus memastikan persekitaran mereka lebih terjaga dan menarik.


“Setiap Jumaat sejak dua tiga tahun lepas kita mengamalkan bergotong-royong membersihkan kampung dan hanya tidak melakukan aktiviti itu jika ada majlis kenduri kendara.

“Setiap kali bergotong- royong, 100 hingga 150 penduduk keluar membantu. Saya cukup berbangga dengan kerjasama dan bantuan ramai termasuk golongan muda dan wanita,” katanya.

Menurutnya, terdapat industri kecil pembuatan perabot dan nurseri yang diusahakan anak kampung turut memajukan ekonomi setempat serta memberi peluang pekerjaan kepada penduduk khususnya golongan muda.

Katanya, pihaknya turut merancang membuka ternakan ikan air tawar dengan bantuan dan bimbingan seorang usahawan tempatan sebagai platform mempelbagaikan sumber pendapatan penduduk, tidak lama lagi.

Sementara itu, bagi kategori Dalam kawasan Operasi pula, dimenangi Kampung Medan Jaya, Marang sekaligus membawa pulang RM25,000 serta RM250,000 bagi projek pembangunan.

Tengku Sulaiman

Pengerusi JKKK kampung itu, Tengku Sulaiman Tengku Halim, 56, berkata, sejak 2007 kampung itu sering menyertai pertandingan kebersihan dan keindahan kampung serta memenangi pelbagai hadiah termasuk naib johan Anugerah Desa Cemerlang (ADC) dan kebersihan kampung peringkat negeri sebelum ini.

 “Dengan bantuan projek itu, kami berhasrat untuk meluaskan perkhidmatan rumah rehat atau chalet yang diwujudkan di kampung kami dibina hasil sumbangan kerajaan negeri berjumlah RM50,000 selepas memenangi naib johan ADC yang lalu.

“Kami mahu menambah pendapatan kira-kira 700 penduduk kampung di bawah satu koperasi dan juga pulangan kepada tabung JKKK,“ katanya.

Sementara itu, tempat kedua dan ketiga bagi kategori Luar Kawasan Operasi masing-masing dimenanagi Kampung Lingai, Kuala Terengganu dan Kampung Tok Dor, Hulu Terengganu.

Bagi kategori Dalam Kawasan Operasi pula, Kampung Padang Jambu, Dungun dan Kampung Che Kundur, Kuala Terengganu, masing-masing muncul pemenang kedua dan ketiga.

Pemenang tempat kedua membawa pulang RM15,000 dan bantuan projek pembangunan RM150,000, manakala ketiga memperolehi wang tunai RM10,000 beserta RM100,000 (projek pembangunan).

Hadiah kemenangan disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, di Kampung Banggol Pak Ali, semalam.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, YB Haji Mohd Zubir Embong.