Halaman

20 October 2013

Nik Danya, AJK mahu kuatkan UMNO Setiu.

Teks dan gambar Aminudin Ismail. 

Nik Danya Nik Abdul Rahman.
SETIU: Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Setiu yang mendapat undi tertinggi dalam pemilihan UMNO Setiu, semalam, Nik Danya Nik Abdul Rahman, mahu bekerja lebih kuat lagi untuk memantapkan UMNO supaya Barisan Nasional terus mentadbir daerah Setiu.

Nik Danya, 52, memperolehi undi sebanyak 767 itu, berterima kasih kepada semua perwakilan yang hadir pada pemilihan semalam kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk memegang jawatan dalam UMNO sebagai ahli jawatankuasa.

“Ini adalah satu amanah untuk saya meneruskan agenda parti dan saya akan pegang amanah ini demi untuk UMNO dan penduduk Setiu keseluruhannya. Barisan (AJK UMNO Setiu)  inilah akan bekerja keras untuk UMNO Setiu bagi menghadapi PRU akan datang,” katanya yang bertugas di Pejabat Pelajaran Daerah Setiu itu.

Nik Danya dari Dun Permaisuri itu, menganggap ‘perlawanan’ sudah selesai dan semua ahli UMNO perlu kembali bersatu supaya UMNO Bahagian Setiu terus mantap dan stabil.

“Slogan ‘meremajakan’ UMNO perlu diambil perhatian serius oleh semua pihak dalam UMNO bagi menarik lebih ramai golongan muda dan remaja menyertai UMNO demi masa depan UMNO itu sendiri kerana lambakan maklumat melalui media siber banyak mempengaruhi golongan muda hari ini.

“Kami barisan AJK akan memberi sokongan padu kepada pemimpinan UMNO Setiu untuk menjayakan segala perancangan dan agenda parti demi untuk keutuhan UMNO dan kemajuan seluruh penduduk di daerah Setiu,” katanya yang aktif dalam UMNO sejak hampir 30 tahun itu.