Halaman

21 October 2013

Rosmadi cakna golongan muda.

Teks dan gambar Aminudin Ismail. 

Rosmadi..mahu tubuh pusat sehenti pemuda.
PEMBABITANNYA dalam politik bermula sejak di bangku sekolah menengah lagi tetapi beliau mula aktif dalam UMNO selepas memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Chalok Barat pada tahun 2000 sehinggalah sekarang.

Rosmadi Nasir, dari Dun Langkap yang baru dilantik semula menjawat jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Setiu pada pemilihan UMNO baru-baru ini, berkata dia mula berminat dengan UMNO selepas merasakan perlu membalas jasa kerajaan yang banyak memberi peluang dan ruang dalam kehidupannya.

"Pada dasar, penglibatan saya dalam UMNO ini sebagai ucapan terima kasih kepada kerajaan kerana memberi peluang kepada saya berjaya terutamanya dalam bidang pelajaran dan pekerjaan sehingga hari ini," katanya.

Rosmadi bersama rakan di PPD Setiu.
Rosmadi,38, yang bertugas di PPD Setiu itu, berkata golongan muda hari ini harus rasa bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana banyak peluang yang diberi sejak mereka dari sekolah rendah hinggalah ke peringkat tertinggi pengajian.

"Golongan muda seharusnya tidak memandang mudah akan banyak peluang-peluang yang kerajaan berikan kepada mereka. Jasa kerajaan ini perlu dibalas dengan baik dengan memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional yang memberi kesejahteraan kepada mereka," kata pemegang ijazah dari UKM itu. 

Bercakap mengenai jawatannya sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Setiu, Rosmadi berkata dia akan memberi sokongan dan kerjasama yang padu kepada Ketua Pemuda untuk melaksanakan pelbagai agenda pemuda.

"Dengan jawatan ini, saya bersama Ketua dan AJK pemuda UMNO Setiu akan akan cuba memberi maklumat yang betul tentang UMNO dan kerajaan Barisan Nasional kepada golongan muda di Setiu ini supaya mereka lebih memahami perjuangan UMNO yang sebenarnya" katanya.

Rosmadi yang juga Exco Pemuda UMNO negeri sejak 2008 hingga pemilihan baru-baru ini berhasrat mahu menubuhkan sebuah Pusat Sehenti Pemuda UMNO Setiu bagi membantu menyelesaikan pelbagai masalah golongan muda. 

"Saya akan berbincang dengan Ketua Pemuda, dan jika beliau bersetuju, pusat itu akan beroperasi di Bandar Permaisuri tidak lama lagi bagi memberi peluang kepada pemuda mengadu pelbagai masalah berkaitan golongan muda dan kami membantu menyelesaikan masalah itu," kata bapa kepada tiga orang anak itu.