Halaman

24 October 2013

`Kesihatan & Anda' menerusi Manis FM mulai 31 Oktober

Oleh: Aida Abd Rahman, Mohd Hafizuddin Mat Tahar dan Mohd Syazni Zainudin (pelatih)
Gambar oleh Zulkipli Putra

Pakar-pakar perubatan dari Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) bersedia memberi khidmat nasihat penjagaan kesihatan dan mengatur temujanji dengan pesakit menerusi program bual bicara yang bakal bersiaran di stesen radio, Manis FM, bermula 31 Oktober ini.

Pegawai Eksekutif Manis FM, Encik Che Abd Rani Mohd (tengah) menerangan sesuatu kepada wartawan pada sidang media bersama Encik Abdul Khalif Mohamad Salleh dan Puan Zawiah Sharif.
Pengurus Besar Kumpulan Kesihatan, Sumber Manusia dan Pmasaran TDM Bhd, Encik Abdul Khalif Mohamad Salleh, berkata kerjasama pertama antara stesen radio milik kerajaan negeri dengan kumpulan TDM hospital, yang dinamakan `Kesihatan & Anda’ akan memberi maklumat mengenai penyakit tertentu serta masalah kesihatan kepada pendengar berdasarkan slot yang disusunatur setiap minggu.

Antara pakar perubatan yang akan menjadi tetamu menjayakan slot bual bicara `Kesihatan & Anda' yang akan bersiaran di stesen radia Manis FM.
“Bagi musim pertama doktor dan pakar pemakanan dari KTS akan membincangkan penyakit tertentu atau topik yang melibatkan kanak-kanak serta dewasa seperti sakit perut, komlikasi semasa mengandung, asma pada kanak-kanak, diabetes, penjagaan mata, pemakanan dan diet yang sihat,” katanya kepada pemberita di sidang media, di Hotel Grand Puteri Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Eksekutif Manis FM, Encik Che Abd Rani Mohd dan Ketua Pegawai Eksekutif KTS, Puan Zawiah Sharif.

Sementara itu, Encik Che Abd Rani berkata, pendengar berpeluang mengikuti 12 slot setiap Khamis bermula jam 10 hingga 11 pagi yang akan membincangkan pelbagai topik dan perkongsian info kesihatan antara kedua-dua syarikat milik kerajaan negeri itu.


Katanya, pihaknya berharap pendengar dapat mengambil peluang untuk mengetahui lebih dekat mengenai perkhidmatan dan kemudahan disediakan KTS, selain meningkatkan bilangan pendengar stesen Manis FM.

Selain itu antara sesi bual bicara `Kesihatan & Anda’ yang akan bersiaran bertajuk `Merokok dan Kesihatan’ oleh Pakar Perubatan Am/Respiratori, Dr Shaharudin Abdullah (7 November); Diabetis dan Komplikasi oleh Pakar Perubatan Am, Dato’ Dr S Menon (14 Novemer); `Imunisasi dan manfaat kepada anak’ (21 November) dan `Asma di kalangan kanak-kanak’ (5 Disember) oleh Pakar Pediatrik (kanak-kanak), Dr Najimu Al-Farid Najimudin.