Halaman

20 October 2013

Enam muka baharu terajui Umno di Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Proses Pemilihan Umno 2013 di lapan bahagian di negeri ini menyaksikan transformasi kepimpinan besar-besaran apabila enam muka baharu memenangi pertandingan merebut jawatan ketua Umno bahagian bagi penggal 2013-2016.

Daripada enam bahagian yang mendapat ketua baru, tiga daripadanya ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) iaitu Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman (Kuala Nerus), YB A Latiff Awang (Marang) dan YB Nawi Muhamad (Besut).

Muka baharu lain yang turut diberi mandat menerajui bahagian ialah Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Jailani Johari (Hulu Terengganu); Dato’ Din Adam (Dungun) dan Dato’ Mohd Sabri Alwi (Kuala Terengganu).

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Terengganu, Dato’ Muda Mamat, berkata dua ketua bahagian yang mengekalkan jawatan mereka bagi pemilihan kali ini ialah Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said (Kemaman) yang memperolehi majoriti undi paling tinggi dengan mengumpul 753 undi berbanding pencabar beliau, Mat Dalam yang hanya mendapat 41 undi.


Manakala Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, YB Dato’ Mohd Jidin Shafee (Adun Permaisuri) menewaskan pencabarnya, Datuk Mamat Ghazali dengan majoriti 314 undi untuk kekal sebagai Ketua Umno Bahagian Setiu.

 “Daripada keseluruhan pertandingan, enam bahagian mengalami transformasi kepimpinan apabila jawatankuasa tertinggi bagi ketua bahagian, timbalan ketua dan naib ketua beralih kuasa kepada kepimpinan baru.

 “Pada pandangan saya, peralihan itu menyaksikan akar umbi mahukan suatu transformasi dalam kepimpinan di setiap bahagian sebagaimana dengan perubahan pemilihan sayap-sayap Umno pada minggu lalu,” katanya kepada pemberita di Pejabat Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, hari ini.

Dato’ Muda berkata, keputusan pemilihan Umno itu juga dilihat mampu memperkasakan lagi Umno di peringkat bahagian, selari dengan perubahan di peringkat Pusat sebagai  satu langkah bagi memperkasakan lagi parti Melayu itu.