Halaman

21 October 2013

Pelajar STPM terharu terima RM1,000

Oleh: Mohd Syazni Zainudin dan Mohd Hafizuddin Mat Tahar(pelatih)



Keprihatian kerajaan negeri mengagihkan wang tunai RM1,000 kepada setiap calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) nyata mengembirakan golongan itu kerana mampu meringankan bebanan ibu bapa. 

Seramai 1,623 pelajar Tingkatan Enam (Atas) membabitkan  43 sekolah seluruh Terengganu hadir menerima sumbangan berjumlah RM1.6 juta yang disampaikan Dato’ Seri Haji Ahmad Said pada Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Bantuan yang disalurkan melalui Yayasan Terengganu (YT) itu diperkenalkan oleh kerajaan negeri sejak 2008 bertujuan meringankan beban pelajar yang tidak menerima sebarang bantuan biasiswa pendidikan.


Pasangan kembar Azmira Syazleen dan Azrina Syazreen Azizul Rahim, 19 mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yayasan Terengganu (YT) yang telah mengeluarkan belanja besar untuk kemudahan pelajar STPM di negeri ini.

“Kami berkongsi perasaan gembira apabila tidak lagi perlu membebankan ibu bapa yang hanya bekerja sebagai mekanik untuk membeli barangan persekolahan.

“Wang yang diperolehi ini akan digunakan sebaik mungkin, termasuk membeli buku rujukan dan tidak membazir dengan membeli barangan yang tidak berfaedah,” katanya yang ditemui Teganukita pada majlis itu.

Turut hadir,Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zuber Embong, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Inovasi & Tugas-Tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib, Pengarah Yayasan Terengganu, Tuan Haji Azmi Razik, Pegawai Kewangan Negeri Terengganu, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail serta Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan, Tuan Haji Ngah Bidin.

Penerima lain Nurin Sarahah Sofian yang juga pasangan kembar kepada Nurin Syatrah, 19 berkata, bantuan itu akan disimpan untuk kegunaan pada masa depan, termasuk membuatkan bayaran yuran sekiranya mendapat tawaran ke Institut Pengajian Tinggi.

“Saya terharu dengan pemberian ini yang sememangnya banyak membantu dalam pelbagai perkara, selain turut berasa bertuah menjadi anak didik Terengganu berikutan sumbangan seumpamanya ini tiada di negeri lain,” katanya.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Bariah, Wong Yong Man, berkata dia akan menggunakan wang itu untuk menyambung pelajarannya dalam bidang komunikasi massa di luar Negara

“Bantuan ini dianggap sebagai pendorong dan semangat untuk saya berusaha lebih keras dalam pelajaran sekaligus membuktikan saya mampu berjaya,”, katanya yang pernah mengikuti program pertukaran pelajar di Australia.