Halaman

23 October 2013

RAS untuk semua peringkat umur- Pengarah JAS.

Teks dan gambar Aminudin Ismail. 

Ingatan...Rashadah menerima cenderahati dari peserta konvoi JJMRAS 
SETIU: Semua peringkat umur di negeri ini disaran menyertai Rakan Alam Sekitar (RAS) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dengan kerjasama kawasan Parlimen bagi membendung masalah pencemaran alam sekitar dengan lebih berkesan.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar Terengganu, Roshadah Hashim berkata, program yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran alam sekitar di kalangan masyarakat setempat itu bukan sahaja dikhaskan untuk golongan tertentu sahaja.

“Kumpulan sasaran RAS ini bukan sahaja untuk golongan muda sahaja tetapi ia merangkumi golongan murid sekolah rendah, pelajar sekolah menengah, penuntut universiti dan hinggalah kepada golongan tua, semua boleh menjadi ahli RAS ini.

“Mereka semua inilah, kami harap akan menjadi mata dan telinga Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk membendung masalah pencemaran alam tidak kira di mana tempat. Ahli RAS inilah yang akan memberi maklumat kepada penguatkuasaan JAS bagi kawasan-kawasan yang hanya mereka sahaja yang tahu tentang kegiatan pencemaran alam itu,” katanya.

Roshadah berkata, beliau mengharapkan jumlah ahli RAS akan bertambah dari semasa ke semasa melalui kempen dan program yang dianjurkan oleh JAS.

“Ketika ini kita mempunyai lebih 100 ribu ahli di seluruh Malaysia, melalui kempen dan program seperti ini yang dilaksanakan di setiap kawasan parlimen, saya yakin jumlahnya akan terus meningkat dan ini boleh membantu menjayakan program untuk mencapat matlamatnya,” katanya.

Rashadah berkata demikian ketika hadir di Program Rakan Alam Sekitar Peringkat Parlimen Setiu sempena sambutan Minggu Alam Sekitar Malaysia 2013, yang diadakan di Perpustakaan Awam Daerah Setiu (PADS) , Bandar Permaisuri, di sini, hari ini.

Turut dilancarkan pada program itu ialah pertama, pelancaran Pusat Komuniti RAS yang pertama di Terengganu iaitu bertempat di PADS, kedua ialah pelancaran Pasukan Pemantau Pencemaran (3P) yang terdiri daripada ahli-ahli RAS dan ketiga ialah ‘Flag Off’ konvoi Jejak Mesra RAS (JJMRAS).

Untuk menjadi Rakan Alam Sekitar (RAS), orang ramai bolehlah menyertainya secara online dengan melayari: http://ras.doe.gov.my