Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) melaksanakan Kelas Sijil Pengajian Agama Islam Terengganu (SPAIT) yang menyamai kelas agama dewasa dan kelas malam yang pernah dilakukan pada tahun-tahun 1960-an.
Sebagai permulaan, kelas pengajian ini diperkenalkan di empat buah masjid iaitu Masjid Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Ladang , Masjid Hadhari (Jertih), Masjid Sultan Ahmad (Chukai), dan Masjid Putra Jaya(Setiu).
Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Dato’ Mohd Rozali Saleh berkata, Mesyuarat Maidam yang bersidang pada 20 Februari 2011 memutuskan agar diwujudkan platform khas untuk pembelajaran agama secara formal dan bersijil bagi golongan berusia 25 tahun ke atas.
“Kelas ini sudah berjalan 17 bulan dan kumpulan pertama pelajar ini telah tamat peperiksaan dan lulus di peringkat Ibtida’i dan mereka layak memasuki kelas ini ke tahap seterusnya iaitu Mutawassit.
“Kemasukan ke kelas Ibtida’i bagi program ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat yang berminat, manakala kelas pertengahan dan lanjutan memerlukan satu ujian kelayakan masuk yang mesti melepasi markah 70 peratus ke atas sebagai syarat kemasukan,” katanya.
Dato’ Mohd Rozali Saleh berkata program pembelajaran ini dilaksankan dua kali seminggu setiap Jumaat, sepanjang tempoh satu setengah jam dan Sabtu (tiga jam).
Katanya, tenaga pengajar terdiri daripada guru agama yang berpengetahuan dan berpengalaman luas dalam bidang agama.
Menurutnya, sijil yang diperolehi pelajar dapat digunakan sebagai sokongan bagi sebarangan permohonan jawatan mubaligh imam,bilal,dan guru agama dan sebarang jawatan yang berkaitan bidang agama.
Terdahulu, beliau berkata antara objektif program ini ialah mengembalikan semula imej Terengganu sebagai pusat pengajian agama yang tersohor dan terkenal.
Di samping itu, SPAIT juga mampu melahirkan masyarakat yang benar-benar memahami dan mempraktikan islam berpandukan kepada ahli sunnah wal jamaah.
Sementara itu majlis pelancaran Kelas SPAIT akan dilaksanakan di Dewan Masjid Al-Muktafi Billah Shah Ladang, Kuala Terengganu pada esok (25 Oktober 2013) jam 9.30 pagi.
Majlis berkenaan dijangka akan dirasmikan oleh Yang Di Pertua Maidam, Dato’ Bentara Luar.