Oleh: Noraini Jusoh
Gambar oleh Zulkipli Putra
Gambar oleh Zulkipli Putra
Dato' Seri Haji Ahmad |
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said akan memanggil
kesemua barisan kepimpinan baru selepas pemilihan Umno baru-baru ini, untuk mengatur strategi dari awal bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
“Saya akan memanggil kesemua barisan kepimpinan baru di peringkat Puteri, Pemuda, Wanita dan Bahagian untuk berbincang dan mengatur strategi dari awal bagi merampas kembali kawasan BN kalah pada PRU13 lepas.
“Ada beberapa kawasan, kekalahan Barisan Nasional (BN) begitu kecil. Contohnya Teluk Pasu kita hanya kalah 109 undi, Rantau Abang 141 undi serta Tepoh (229) undi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Penyampaian Bantuan Pendidikan Yayasan Terengganu Kepada Pelajar STPM Tahun 2013 Negeri Terengganu di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, kelmarin.
Katanya, jumlah kerusi yang akan dirampas kembali bergantung kepada keadaan kawasan yang menjadi kubu kuat Umno.
Mengulas mengenai pemilihan Umno yang baru berlalu, beliau mengharapkan setiap calon yang menang atau kalah tidak bermusuhan dan bergaduh sesama sendiri.
“Yang penting ialah sikap dan semangat kita untuk merapatkan barisan,” katanya.