Halaman

24 October 2013

Program ETA diperluas peringkat universiti

Program Pembantu Guru Bahasa Inggeris (ETA) yang sebelum ini dilaksanakan di peringkat sekolah akan diperluaskan ke peringkat universiti dalam usaha meningkatkan mutu bahasa Inggeris anak tempatan.

Program ETA akan dilaksanakan di peringkat universiti. - Gambar oleh Zulkipli Putra.
Pengarah Eksekutif American-Malaysia Commission on Educational Exchange (MACEE) Dr James Coffman berkata idea itu akan dibincangkan dengan Kementerian Pendidikan selepas melihat kejayaan program ETA sejak diperkenalkan pada 2006.

 "Buat masa ini ETA hanya dilaksanakan di peringkat sekolah dan kami mahu perluaskan ETA ke peringkat universiti. Kami akan bincangkan ini dengan Kementerian Pendidikan dalam waktu terdekat," katanya dalam sidang media pada majlis meraikan 20 ETA yang akan tamat perkhidmatan akhir bulan ini, di Kuala Terengganu, semalam.

Kumpulan guru ETA tersebut merupakan lulusan dari pelbagai universiti di Amerika Syarikat ditugaskan mengajar di 20 buah sekolah di Terengganu pada tahun ini mulai awal Februari lalu.

Program perintis ETA oleh kerajaan negeri Terengganu bermula 2006 itu kini turut diperluaskan ke negeri Pahang dan Johor bermula 2012 di bawah seliaan Kementerian Pendidikan.

Malah Sarawak juga dilihat berminat dengan program itu. Seorang daripada guru ETA, Amanda Ussak, 23, berasal dari New Jersey berkata peluang menetap lapan bulan di Terengganu memberikannya satu pengalaman berharga menjadi tenaga pengajar selain berpeluang mempelajari budaya negeri ini.

 "Saya suka tinggal di Terengganu dan sudah mulai gemar makan keropok lekor dan saya berpeluang belajar mencanting batik di Noor Arfa Batik

 "Walaupun pada awalnya saya berdepan kesukaran mengajar subjek (bahasa Inggeris) kepada pelajar kerana mereka malu-malu, tetapi saya berjaya mengubah persepsi mereka iaitu belajar bahasa Inggeris adalah menyeronokkan dan mudah," katanya.

Pada tahun depan, sebanyak 20 lagi guru baharu ETA akan ditugaskan berkhidmat di negeri ini bermula awal tahun hadapan juga selama lapan bulan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri Ghazali Taib yang turut hadir pada majlis itu berkata program ETA memberi impak positif dari segi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar.

 "Jika dahulu kita lihat pelajar-pelajar terutamanya di daerah-daerah pedalaman di negeri ini takut untuk menggunakan bahasa Inggeris, sekarang dengan guru-guru ETA ini, mereka tidak lagi segan silu untuk cuba menggunakan bahasa ini," katanya.