Halaman

20 October 2013

Sultanah Terengganu mencemar duli lancar buku Keropok Lekor Terengganu

Oleh: Noraini Jusoh



Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah merangkap Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkenan mencemar duli melancarkan buku Keropok Lekor Terengganu terbitan Penerbit UMT.

Turut berangkat mencemar duli menyaksikan pelancaran buku tersebut ialah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Buku yang dihasilkan Prof. Madya Dr. Noraien Mansor itu dilancarkan sempena Majlis Santapan Konvokesyen UMT kali ke-11 yang diadakan di Pusat Kovensyen, Taman Tamadun Islam, baru-baru ini.

Majlis turut dihadiri Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zuber Embong; Pro-Canselor UMT, Tan Sri Samsudin Osman; Pengerusi Lembaga Pengarah UMT, Tan Sri Datuk Dr. Ahmad Zaharudin Idrus serta Naib Canselor UMT, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo.

Turut hadir, Ahli-Ahli Dewan Pangkuan DiRaja Terengganu serta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu.

Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan Pejabat Komunikasi Korporat UMT, buku Keropok Lekor Terengganu adalah dokumentasi khas warisan kebanggaan masyarakat negeri Terengganu.

Buku tersebut merungkai proses penghasilan keropok lekor di negeri ini daripada lokasi pendaratan ikan hinggalah ke peringkat pemasaran di peringkat global.

Ia juga memberi tumpuan kepada hasil penyelidikan penyelidik UMT berkaitan industri keropok lekor di Terengganu.