Halaman

24 October 2013

Ketua Pemuda, Puteri Terengganu pikul tanggungjawab besar

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Pemilihan Umno di semua peringkat sudah pun selesai di mana kepimpinan Pergerakan Pemuda dan Puteri menyaksikan 100 peratus muka baru menerajui kedua-dua sayap parti itu di semua lapan bahagian di negeri ini.

Perwakilan Pemuda memilih lapan ketua baru iaitu Azizul Jasmi Mohamad (Besut), YB Mohd Iskandar Jaafar (Setiu), Khairuddin Abd Majid (Kuala Nerus), Dr Najmil Faiz Mohamad Aris (Kuala Terengganu), Mohd Johari Abu Bakar (Hulu Terengganu), Jasmira Othman (Marang), Mohamad Asri Mohamad (Dungun) dan Ahmad Fikry Ibrahim (Kemaman).

Manakala perwakilan Puteri pula memilih lapan pemimpin baru iaitu Erniesalwani Saidi (Besut), Norfuzilawati Yusoof (Setiu), Zuraiha Shariza Embong (Kuala Nerus), Nia Notieya Zaharuddin (Kuala Terengganu), Rozita Ismail (Hulu Terengganu), Laila Mat Daud (Marang), Arlina Rsoli (Dungun) dan Shaheda Jusoh (Kemaman).

Kini 16 ketua Pemuda dan Puteri Umno bahagian berkenaan memikul tanggungjawab yang amat besar bagi menarik pemuda dan pemudi di kawasan masing-masing supaya menyokong Umno dan memulihkan kekuatan Barisan Nasional (BN) di seluruh Terengganu.

Ini berikutan banyak pihak membuat rumusan antara faktor kekalahan ramai calon BN di Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang lalu kerana kurang mendapat sokongan golongan muda.

Boleh dikatakan punca kekalahan BN disebabkan sebahagian besar saluran empat dan lima di pusat-pusat mengundi di seluruh negeri memihak kepada calon-calon pembangkang.

Justeru, banyak pihak beranggapan transformasi yang berlaku pada pemilihan peringkat Pergerakan Pemuda dan Puteri yang menyaksikan rombakan kepimpinan besar-besaran bagi kedua-dua sayap itu merupakan detik terbaik untuk mereka melakukan pembaharuan bagi memikat golongan muda.

Kepimpinan baru Pemuda dan Puteri dengan restu ketua bahagian masing-masing perlu bergerak mulai sekarang bagi merangka pelbagai program yang mampu menambat hati golongan muda untuk mendekati semula Umno dan menyokong BN.

Ketika mengulas mengenai transformasi yang berlaku dalam kepimpinan Pemuda dan Puteri serta bahagian, Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata:

 “Pemilihan kali ini boleh dikatakan menyaksikan perlawanan di semua peringkat. Kita sudah beri kebebasan kepada semua pihak untuk bertanding dan memilih pemimpin yang terbaik.

 “Selepas ini kita harap pemimpin yang telah dipilih bekerja kuat untuk mengukuhkan kedudukan Umno dan BN. Manakala ahli-ahli pula perlu bersatu dan merapatkan jurang selepas pertandingan.

 “Kita tidak mahu ada lagi puak-puak tertentu selepas ini kerana masing-masing sudah diberi peluang untuk bertanding dan berkempen untuk pemimpin mereka,” ujar beliau.