Halaman

25 October 2013

Zakaria akan terus bantu penduduk.

Oleh: Aminudin Ismail.

Zakaria...banyak bantu penduduk.
SEKALIPUN sibuk dengan tugasnya sebagai seorang pendidik namun tugasnya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kampung (JKKK) tidak pernah diabaikan malah sejak memegang jawatan itu kira-kira tiga penggal lalu, pelbagai usaha dilakukanya untuk membantu penduduk termasuklah mendapatkan rumah PPRT.

"Sejak memegang jawatan Pengerusi JKKK hampir 15 tahun lalu, adalah menjadi tanggungjawab saya membantu penduduk dan memajukan kampung ini. Sebagai pembantu kepada wakil rakyat adalah menjadi kewajipan saya untuk menyelesaikan masalah penduduk.

"Setakat ini seramai 10 keluarga di kampung ini, berjaya mendapatkan rumah PPRT dan lebih 40 buah rumah sudah baikpulih hasil bantuan kerajaan Barisan Nasional," kata Zakaria Abdul Rahman, Pengerusi JKKK Kampung Padang Kemunting, Batu Rakit itu.

Zakaria yang menang jawatan AJK Bahagian pada pemilihan UMNO Setiu baru-baru ini, berkata, selain itu antara usahanya ialah mendapatkan sebuah padang futsal di kampungnya dan membantu penduduk mendapatkan jalan ke kawasan perumahan dan kebun.

"Jalan-jalan ini memberi keselesaan kepada penduduk untuk keluar masuk ke rumah atau ke kebun mereka," katanya yang memegang jawatan AJK Bahagian sejak tiga penggal lalu dan jawatan AJK Pemuda Setiu selama empat penggal itu.

Zakaria berkata, beliau akan terus menabur bakti kepada penduduk kampungnya selagi mendapat kepercayaan wakil rakyat kawasanya dan penduduk.

"Di dalam usaha saya untuk membantu penduduk dan memajukan kampung, saya juga mempastikan UMNO dan Barisan Nasional akan sentiasa mendapat tempat di hati penduduk supaya pembangunan akan dapat diteruskan," katanya.