Halaman

22 October 2013

PPNT anjur seminar pelancongan selama dua hari

Oleh: Noraini Jusoh

Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT) akan menganjurkan Seminar Pelancongan Antarabangsa Eko Marin dan Pelancongan 2013 (TEMCO 2013) pada 18 hingga 19 November ini.

Penganjuran seminar oleh PPNT dengan kerjasama kerajaan negeri dan Kementerian Pelancongan Malaysia akan diadakan di Primula Beach Hotel selama dua hari.

Pengerusi TEMCO 2013, Encik Alex Lee Yun Ping, berkata, seminar yang memasuki edisi keempat diadakan memberi tumpuan terhadap usaha memartabatkan sektor pelancongan di negeri ini khususnya dan membincangkan idea-idea praktikal serta mencari penyelesaian yang memberi inspirasi kepada perubahan positif dalam sektor Eko & Pelancongan Marin.

“Seminar ini terbuka kepada individu yang berkait rapat dengan sektor pelancongan seperti pengusaha-pengusaha produk pelancongan serta wakil dari kerajaan negeri dan juga orang awam yang berminat,” ujarnya.

 Katanya, pelbagai topik menarik yang bakal dibincangkan sepanjang seminar ini berlangsung, termasuk potensi pembangunan pulau di Terengganu, pembentangan kertas kerja oleh penyelidik universiti serta perbincangan meja bulat kalangan usahawan eko-pelancongan di negeri ini.

“Selain memberi pemahaman berkaitan pelancongan lestari kepada masyarakat, penganjuran seminar sebegini juga dapat menggalakkan mereka melibatkan diri dalam sektor Eko & Pelancongan Marin seperti menyediakan homestay, kampungstay serta menceburi bidang penyewaan bot pelancongan untuk snorkeling, menyelam dan belayar.

 “Selain itu, ianya juga bertujuan untuk mencadangkan peningkatan dan penambahbaikan dalam sektor Eko & Pelancongan Marin tanpa mengganggu ekosistem dan alam sekitar di Terengganu,” ujar beliau.