Halaman

23 October 2013

Maidam bakal anjur Sambutan Tiga Abad Pentadbiran Islam Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) bakal menganjurkan Sambutan Tiga Abad Pentadbiran Islam Terengganu, bagi memberi pendedahan mengenai fungsi dan peranan institusi Islam kepada masyarakat, tidak lama lagi.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Dato’ Haji Mohd Rozali Saleh, berkata sambutan memperingati Pentadbiran Hal Ehwal Islam di Terengganu yang bermula sejak 1708 lagi, mampu mendekatkan masyarakat dengan institusi pentadbiran Islam di negeri ini.

“Inisiatif julung kali itu juga dapat meningkatkan kualiti program dan usaha Maidam dalam menegakkan syiar Islam menerusi aktiviti dan pelbagai majlis ilmu.

 “Program ini juga diharap mampu merapatkan jurang Maidam dengan masyarakat serta mampu memberi input mengenai fungsi jabatan itu kepada masyarakat umum,” katanya kepada Teganukita, hari ini.

Dato’ Haji Mohd Rozali berkata, platform itu juga diharap dapat mewujudkan kerjasama dan sokongan orang ramai demi meningkatkan lagi martabat Islam di Terengganu, selaras dengan saranan kerajaan negeri bagi `Merakyat Pentadbiran dan Pembangunan’.

Katanya, sempena perasmian program itu, Maidam dijangka akan melancarkan tiga monograf mengenai sejarah JHEAT, sejarah masjid-masjid Negeri Terengganu dan perkembangan pendidikan sekolah menengah agama di Terengganu kepada pengunjung.

Sebelum itu, beliau berkata sebagaimana yang dikesan, pentadbiran Islam di negeri ini sudah bermula sejak tahun 702H/1303M.

“Berdasarkan rekod tertulis yang ada, Pentadbiran Islam Terengganu berjalan pada zaman Pemerintahan Sultan Zainal Abidin yang ditabal menjadi Sultan Terengganu pertama pada 1708.

“Pada zaman itu, sudah pun wujud institusi qadi, hakim, mufti, saikul ulama dan sebagainya. Malah, pada 1912, beberapa jabatan kerajaan ditubuhkan secara rasmi termasuk Pejabat Pesuruhjaya Keadilan, Pejabat Agama dan Pelajaran,” katanya.