Halaman

23 October 2013

Ahli Umno perlu muhasabah diri – Ahmad Said

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh Zulkipli Putra

Dato' Seri Haji Ahmad
Ahli Umno di seluruh negeri perlu muhasabah diri masing-masing dan kembali ke pangkal jalan jika mereka melakukan perbuatan khianat atau mensabotaj parti pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) kekal berkuasa di Terengganu dengan majoriti mudah.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata ramai ahli dan pemimpin Umno yang didapati melakukan perbuatan sabotaj yang menafikan kemenangan calon-calon BN pada pilihan raya tersebut.

Bagaimanapun, katanya, sebahagian ahli yang berbuat demikian terlepas daripada sebarang hukuman parti kerana mungkin tindakan mereka tidak disedari atau kekurangan bukti bagi mensabitkan kesalahan.

“Saya harap mereka yang terlibat dengan sebarang perbuatan khianat terhadap parti supaya muhasabah diri dan kembali ke pangkal jalan.

 “Marilah kita sama-sama berusaha menguatkan parti dan bekerja gigih bersama-sama dengan pimpinan baru cawangan dan bahagian masing-masing untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14,” kata Dato’ Seri Haji Ahmad yang juga Menteri Besar ketika ditemui di Kemaman, kelmarin.

Pada PRU13 BN hanya menang 17 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu dan membentuk kerajaaan dengan majoriti mudah. Pilihan raya itu juga menyaksikan BN ‘hilang’ lima kerusi Parlimen apabila calon-calonnya dikalahkan calon pembangkang.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, pihaknya memberi kepercayaan kepada kepimpinan baru Umno di semua peringkat, termasuk sayap-sayap parti bagi memulihkan kekuatan Umno bagi menarik sokongan rakyat.

“Badan Perhubungan Umno negeri sedia membantu dalam semua aspek keperluan bagi merangka program-program untuk menguatkan parti,” ujar beliau.