DEMAM pemilihan UMNO sudahpun berakhir, ada yang menang dan ada yang kalah. Mereka yang menang perlu menggalas amanah yang diberikan perwakilan dengan penuh tanggungjawab dan jujur manakala yang kalah pula masih tetap ahli UMNO dan khidmat mereka masih ditagih untuk menguatkan parti.
Di Terengganu, tiada keputusan yang mengejutkan berlaku. Boleh dikatakan semua ramalan adalah betul belaka. Kebanyakan mereka yang dipilih oleh perwakilan adalah mereka yang benar-benar layak untuk menduduki kepimpinan UMNO Bahagian manakala yang tidak terpilih tidak kurang juga hebatnya, mereka semua adalah ‘pejuang ‘ UMNO dan perlu terus kekal berjuang.
Di Setiu, ramai sudah menduga, Dato’ Mohd Jidin Shafee akan kekal sebagai Ketua UMNO Bahagian walaupun ditentang Datuk Mamat Ghazali. Mohd Jidin boleh dikatakan terpilih dengan majoriti memuaskan iaitu sebanyak 314 undi majoriti daripada kira-kira 1100 perwakilan.
Walaupun menghadapi beberapa rintangan sejak pemilihan calon pada pilihan raya umun lalu termasuklah bertanding dengan ‘rakannya’ sendiri dalam pilihan raya itu dan pada pemilihan UMNO baru-baru ini, pula bertanding dengan seorang yang boleh dianggap gurunya dalam politik, namun Dato’ Mohd Jidin tetap tenang menghadapi itu semua sehinggakan beliau masih kukuh berdiri untuk menerajui UMNO Setiu.
Bagaimanapun, Mohd Jidin , 58, ada misi dan visi tersendiri untuk mempastikan UMNO terus bertapak kukuh di bumi Setiu ini. Beliau kini sedang ‘mengintai’ siapakah yang benar-benar layak untuk menggantikan tempatnya suatu hari nanti sekiranya beliau mahu berundur dalam arena politik selepas 20 tahun aktif dalam UMNO Setiu.
Namun waktu masih panjang. Untuk penggal ini, tugasnya baru hendak bermula, khidmat dan ketokohannya masih diperlukan, masih ada agenda yang perlu diselesaikanya, antaranya ialah mengeratkan semula hubungan silaturrahim antara ahli selepas pemilihan baru-baru ini dan memperkukuhkan UMNO Setiu dengan menambahkan lagi bilangan ahli.
Kemenangan tiga lagi Adun di Parlimen Setiu iaitu Dato’ Sabri Mohd Nor (Dun Langkap) menang tanpa bertanding untuk jawatan Timbalan Ketua, Mohd Iskandar Jaafar (Dun Jabi) juga menang tanpa bertanding untuk jawatan Ketua Pemuda dan Bazlan Abdul Rahman (Adun Batu Rakit) pula menang jawatan naib, akan lebih memudahkannya kerjanya mentadbir UMNO Setiu.
Begitu juga hubungan baik beliau dengan semua AJK UMNO yang baru dilantik, Ketua-ketua Cawangan dan ahli UMNO di seluruh kawasan Setiu lebih melancarkan tugasnya untuk terus membina rangkaian yang kukuh ke arah menjadikan UMNO kekal relevan di Parlimen Setiu ini.
Apapun, semua pihak perlulah memberi kerjasama kepadanya menggalas tugas itu bagi memudahkan beliau untuk terus mentadbir UMNO Setiu kerana beliau masih diperlukan selepas mendapat mandat dari perwakilan UMNO seluruh Setiu dalam pemilihan baru-baru ini.
Pemimpin Silih Berganti tetapi UMNO tetap Abadi….Semoga UMNO Setiu terus maju demi untuk kesejahteraan seluruh penduduk di Parlimen Setiu.